KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 3 April 2014

Wan Zack Tiada Dalam Senarai KAFA?

DARI kiri: Brendan Gan, Wan Zack Haikal dan Fitri Omar diperkenalkan sebagai pemain baharu Kelantan di Bangunan MARA, Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak mendaftarkan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak negara.
 Kelibat Wan Zack Haikal menjadi perhatian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa KAFA hanya mendaftarkan dua pemain tempatan iaitu Brendan Gan yang baru mendapat kerakyatan Malaysia manakala pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Fitri Omar pada musim kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

              Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya hanya menerima dua pendaftaran iaitu Brendan Gan dan Fitri. Bagaimanapun, KAFA turut menggugurkan seorang lagi pemain tempatan iaitu Lim Choon Wee. KAFA memperkenalkan ketiga-tiga pemain baharu tersebut di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 24 Mac lalu. Persatuan negeri yang sudah mempunyai 24 pemain sebelum mengugurkan Choon Wee mengakui bahawa mereka hanya perlu ‘menyingkirkan’ seorang pemain tempatan bagi mencukupkan kuota 26 pemain dalam sesebuah pasukan seperti mana yang disyaratkan oleh FAM. Begitupun, KAFA masih belum mendaftarkan Wan Zack biarpun mereka telah menggugurkan Choon Wee dan tindakan itu menimbul rasa hairan dalam kalangan pemerhati bola sepak negara biarpun mereka telah berjaya mendapatkan khidmat pemain kelahiran Pahang itu daripada kelab Jepun, FC Ryukyu.

            “Kami dimaklumkan bahawa Kelantan (KAFA) telah mengadakan perbincangan dengan tiga pemain itu iaitu Fitri, Brendan Gan dan Wan Zack. Cuma, sehingga saat ini (semalam), permohonan untuk mendaftarkan Wan Zack masih belum kami terima. “Kami hanya mengesahkan pendaftaran Brendan Gan dan Fitri. Saya tidak pasti sama ada KAFA gagal mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) tetapi saya akan menyemak apa yang berlaku,” kata Afandi selepas selesai Mesyuarat JKPT FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Dalam perkembangan sama, Afandi memberitahu, FAM telah menerima pendaftaran daripada pasukan-pasukan yang mempersiapkan skuad masing-masing dalam menghadapi Liga M musim ini selain Kelantan.

           “Setakat hari ini (semalam) dari jumlah pasukan yang membuat pendaftaran pemain, beberapa pasukan telah melakukan pertukaran (pemain) yang mana Sarawak menukarkan dua pemain import mereka. “Pasukan-pasukan Liga Premier (seperti) KL SPA, Felda United dan Sabah turut menukar pemain import. “Begitu juga dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) dua pemain tempatan yang baharu, Sabah (satu pemain) dan DRB Hicom (satu pemain). Itulah pemain yang didaftarkan setakat hari ini (semalam),” ujarnya. Sementara itu, Afandi turut mengumumkan jadual separuh akhir kedua Piala FA telah diubah bagi mengurangkan jadual ketat Liga M musim ini.

        “Kami turut meneliti jadual pertandingan dan kami berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan jadual yang padat. Kami bersetuju untuk meminda jadual separuh akhir Piala FA. “Aksi separuh akhir pertama tetap berjalan seperti yang dirancang pada 5 dan 6 Mei depan, “Namun, untuk timbal balik kedua, ia diadakan pada 30 dan 31 Mei dan final Piala FA tahun ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jun depan,” katanya. Tarikh tutup pendaftaran pemain tempatan untuk musim kedua perpindahan adalah 22 April manakala bagi pemain asing 19 April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular