KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 18 September 2013

Kijang Tempang Tonggak Lari

PERPINDAHAN Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim tahun lalu mencetus kontroversi.
KOTA BHARU – Juara treble 2012, Kelantan bakal kehilangan sebahagian besar tonggak utama yang dikhabarkan mahu merubah angin dengan menyertai pasukan baharu musim hadapan.
Malah lebih teruk lagi, kebanyakan pemain yang akan berhijrah adalah tonggak penting yang telah banyak berjasa kepada skuad The Red Warriors.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosial facebook miliknya semalam mengesahkan mengenai senario yang cukup meresahkan peminat Kelantan itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, KAFA tidak akan menghalang mana-mana pemain yang mahu meninggalkan Kelantan kerana mendapat tawaran lumayan daripada pasukan lain.
Malah katanya, ada beberapa pemain telah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat untuk berhijrah musim hadapan.
“Jika The Red Warriors terpaksa membentuk pasukan baharu sekalipun, apakan daya kerana peraturan bola sepak di Malaysia memang tidak melindungi kepentingan kelab.
“Bagi yang dah biasa mengurus bola di Malaysia mereka akan memahaminya,” katanya.
Akhbar pada 12 September lalu melaporkan, sebuah pasukan yang kini bersaing dalam Piala Malaysia didakwa terlibat dengan perjanjian ‘pintu belakang’ untuk memancing tiga tonggak utama pasukan The Red Warriors.
Menurut sumber, pasukan tersebut telah melakukan perjanjian dengan tiga pemain tersebut bagi mencapai misi mereka untuk menjadi juara Liga Super dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Antara pasukan yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain The Red Warriors musim hadapan adalah Johor Darul Takzim (Johor DT), Felda United, Selangor, Terengganu, Polis dan T-Team.
Annuar turut menambah, melihat perkembangan ini, KAFA tidak mahu meletak sebarang harapan musim hadapan.
“Kita masih memikirkan apa yang boleh dan mampu kita buat. Johor DT sekali lagi bakal memperoleh pemain yang mereka mahu dari Kelantan dan Selangor.
“Mereka berhak kerana punya dana cukup besar dan kita mula merasai keperitan untuk bertahan,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular