KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 30 November 2012

TRW Terima Hadiah Pakej Umrah

Nik Abdul Aziz dan Abdul Fattah (dua,kanan) beserta pemain Kelantan meraikan kejayaan The Red Warriors meraih treble pada majlis ‘Jamuan Rakyat & Iftar Perdana Bersama Tok Guru.


KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menghadiahkan pakej umrah kepada pemain dan pegawai pasukan The Red Warriors (TRW) di atas kejayaan meraih kejuaraan treble pertama pada musim ini.
Ganjaran tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ketua Pasukan TRW, Mohd Badhri Radzi pada majlis ‘Jamuan Rakyat dan Iftar Perdana Bersama Tok Guru’ di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau sedang membuat pertimbangan lain untuk memberikan sedikit imbuhan dalam bentuk wang tunai kepada pasukan TRW.

“Kali pertama dahulu kita tak beri (wang tunai). Insya-Allah kita akan usahakan sedikit ganjaran sebagai duit poket ketika mereka berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah nanti.

“Kita serahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menetapkan tarikh sesuai bagi membolehkan kesemua pemain dan pegawai pasukan menunaikan umrah itu pada tahun depan.
Menurut Abdul Fattah, pemain dan pegawai pasukan bukan beragama Islam yang tidak menyertai rombongan tersebut tetap mendapat ganjaran setara dengan nilai pakej umrah tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut. Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Ibrahim, Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Setiausaha Agung, Azman Ibrahim serta barisan jurulatih dan pemain bola sepak Kelantan.

Kerajaan Negeri pernah menghadiahkan pakej umrah kepada pemain dan pegawai bola sepak Kelantan pada tahun 2009, setelah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia meski pun hanya bergelar naib juara apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai program jamuan rakyat tersebut, Abdul Fattah berkata, ia merupakan satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penyokong setia bola sepak yang memberikan sokongan di atas kejayaan Kelantan meraih treble pada musim ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah tidak menolak untuk memberikan ganjaran kepada pasukan ragbi Kelantan yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut minggu lalu.
“Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat exco, Rabu ini. Insya-Allah kita akan umumkan mengenainya. Daripada awal tahun saya menunggu kertas kerja daripada Persatuan Ragbi Negeri Kelantan (PRNK) namun kerana masalah tertentu mereka hanya datang bertemu pada saat akhir,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular