Stadium Kosong dan Syok Sendiri!! | ||
|
"Angkat Bakul Sendiri" itulah yang dapat digambarkan apabila membaca akhbar-akhbar tempatan. Meneliti isu-isu perebutan jawatan FAM ini tidak peliklah kalau sekiranya ditafsirkan pemimpin yang ada sekarang terdiri daripada kalangan mereka yang syok sendiri. Jikalau pasaraya atau restoren akan risau apabila kurang pengunjungnya tetapi bagi FAM kekurangan pengunjung atau penyokong bukan satu masalah besar baginya yang penting mereka terus berkuasa.
Pemimpin yang dengan riak menyatakan kejayaannya di peringkat negeri atau kelab mungkin tidak sedar pasukannya hanya bermain bertemankan kerusi-kerusi kosong sahaja berbanding pasukan Kelantan yang ditemani segerombolan penyokong yang pantang melihat kerusi kosong. Apa guna mengisytiharkan kejayaan kita sedangkan kita sendiri tidak mampu mengajak penyokong ke stadium? Apakah kejayaan ini hanya boleh dinilai pada sebuah stadium yang cantik, pasukan yang kuat, pengurusan yang mantap tetapi lemah apabila melibatkan penyokong? Tidak pentingkah penyokong pada pemimpin ini? Memang mereka mampu mengurus tanpa bantuan penyokong tetapi apa guna bola sepak sekiranya tanpa penyokong.
Elemen bola sepak sudah sebati dengan elemen sokongan penyokong, sekiranya skuad kebangsaan terus dicemuh malah dipandang rendah oleh masyarakat negaranya sendiri, adakah ini menggambarkan kejayaan sebuah barisan pimpinan FAM? Populariti sesebuah pasukan amat penting bagi meningkatkan moral dan semangat para pemain agar mengetahui setiap kudrat dan tenaga mereka di padang dihargai oleh para penyokong. Melihat situasi perlawanan di Malaysia, pasukan bola sepak yang tidak mempunyai penyokong akan tunduk malu dan lemah apabila melintas masuk ke bilik persalinan manakala pasukan yang ramai penyokong dengan gah bertepuk sama dengan penyokong sambil melangkah masuk ke bilik persalinan. Di kelantan pemain dikeremuni ramai penyokong yang berebut untuk bergambar bersama pemain tetapi ianya tidak berlaku di negeri lain.
Kejayaan tidak lengkap tanpa memasukkan pakej penyokong yang ramai ke stadium. Mungkin ramai bersyukur kekurangan penyokong telah menyelamatkan stadium di sebuah negeri dahulu dari runtuh awal. Populariti pasukan bola sepak Kelantan bukan hanya popular dikalangan masyarakat Kelantan sahaja malah disokong oleh peminat bola sepak negeri lain dan negara lain. Krew kami menerima sebuah klip video yang dihantar oleh seorang penyokong Kelantan untuk dikongsi bersama dengan seluruh peminat Kelantan mengenai kekaguman 2 warga asing daripada USA yang menyaksikan bola sepak di Kuala Lumpur baru-baru ini. Warga asing ini kagum melihat sokongan dan kemeriahan yang ditunjukkan oleh penyokong Kelantan seolah-olah penyokong Kelantan ini berada di negeri sendiri sedangkan ianya pasukan pelawat.
Malahan ada satu pengalaman yang dikongsi wakil kelab penyokong The Red Warriors KLIA iaitu saudara Nazim yang pernah menyapa seorang warga asing yang masuk ke balai berlepas KLIA dengan memakai jersi The Red Warriors, dia sempat bertanya warga asing itu beli dimana dan berapa harga yang dibelinya, dengan nada selamba warga asing itu menjawab dia membelinya di Wakaf Che Yeh Kota Bharu dengan harga RM70. Peristiwa ini membuatkan saudara Nazim tersenyum bangga dengan kejayaan pasukan kesayangannya. Begitu juga dengan stastistik dan email yang direkodkan terdapat pengunjung asing yang berminat menyaksikan perkembangan semasa web dan media rasmi THEREDWARRIORS.COM.
Kejayaan seperti ini yang perlu dicipta bukan berterusan syok sendiri dengan sekelumit kejayaan dan segunung kegagalan. Berapa banyak hasil jualan jersi Harimau Muda untuk dibangga bagi memastikan ianya diminati ramai dan menilai kejayaan? Tidak pelik jika lebih ramai rakyat Malaysia lebih sanggup memakai jersi negara lain seperti Sepanyol, Brazil, Belanda, Nigeria dan sebagainya daripada memakai jersi Harimau Muda. Mereka bukan tidak sayang atau hilang semangat patriotik pada Malaysia tetapi kecewa dan cemuh melihat karenah kepimpinan FAM yang sentiasa berdolak-dalih dalam membina sebuah kejayaan. Malah ada yang berpendapat Wisma FAM sesuai dijadikan Arkib Bola Sepak Negara kerana saban tahun rakyat Malaysia hanya disajikan kejayaan bola sepak zaman lampau berbanding kejayaan zaman sekarang. Malah ada yang sudah muak dengan sikap-sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin FAM dalam mendepani kritikan peminat.
Bola sepak Malaysia sekarang perlu berada ditangan mereka yang boleh meningkatkan kembali imej bola sepak negara di mata rakyatnya sendiri bukan berada ditangan yang hanya mementingkan kelompok pimpinan yang angguk-angguk, geling-geling sahaja. Sekali lagi diingatkan bola sepak Malaysia hak milik seluruh rakyat Malaysia bukan hak milik segelintir pemimpin sahaja. Hanya rombakan drastik dan dipimpin oleh barisan yang ikhlas serta cintakan bola sepak sahaja yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.
YA ALLAH KEMBALIKANLAH KEGEMILANGAN DAN KECERIAAN BOLA SEPAK NEGARA KAMI.
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan