KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 7 Julai 2010

Kelantan Catat Kemenangan Tipis

emel

Gol jaringan Akmal Rizal pada minit ke-73 memberikan kemenangan tipis Red Warriors keatas juara Piala FA 2010 tersebut.

Babak awal perlawanan, Kelantan diasak hebat pasukan lawan apabila gandingan penyerang Mohd Zaquan Adha dan Shahurain Abu Samah sering mencemaskan benteng Kelantan dengan larian pantas dari sebelah kiri.

Mohd Zaquan Adha mempunyai banyak peluang terhidang untuk meletakkan Negeri Sembilan apabila melakukan empat percubaan bahaya ke gawang Kelantan namun Khairul Fahmi bertindak cemerlang menafikan semua percubaan tersebut.

Minit ke-13, Norfarhan Mohamed mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol pertama apabila Norshahrul Idlan bijak menggelecek tiga pemain pertahanan pelawat namun hantaran rendahnya kepada Farhan disudahkan dengan sepakan tinggi.

Idlan terus menghasilkan peluang menjaringkan gol kepada rakan sepasukan tetapi hantarannya kepada Farisham pada minit ke-15 gagal digunakan pemain ini walaupun hanya berhadapan dengan Sani Annuar Kamsani.

Khairul Fahmi pula menghampakan kem Negeri Sembilan apabila tangkas menangkap bola sepakan percuma padu Aidil Zafuan dari jarak 35 meter pada minit ke-29.

Norfarhan turut kecewa apabila sepakan kencangnya dari dalam kawasan penalti pada minit ke-30 melambung tinggi tidak mengancam pasukan pelawat manakala percubaan Norshahrul Idlan pada minit ke-34 dari sebelah kiri ditepis keluar Sani Annuar Kamsani.

Seminit kemudian, percubaan Badri Radzi dari luar kotak diselamatkan Tengku Qayyum Ubaidillah di atas garisan gol.

Peluang terbuka mendahului lawan sekali lagi disia-siakan Norfarhan apabila sepakan kencangnya melencong keluar sedikit dari pintu gol Negeri Sembilan pada minit ke-40.

Bersambung babak, Khairul Fahmi melakukan aksi penyelamat terbaik apabila menangkap kemas percubaan terus dari Mohd Zaquan Adha.

Minit-50, Chanturu kecewa apabila tandukan bebasnya diselamatkan Sani Annuar Kamsani diatas garisan gol.

Kapten pelawat, Mohd Rezal Zambery terpana apabila sepakan leret derasnya ke penjuru kiri pintu gol Kelantan pada minit ke-58 berjaya ditepis Khairul Fahmi.

Terus diasak pelawat, Kelantan melakukan pertukaran pertama mengeluarkan S. Chanturu untuk digantikan dengan Hairudin Omar. Kemasukan pemain ini menghidupkan kembali jentera serangan Kelantan setelah Norshahrul memperlahankan rentak permainan apabila mengalami sedikit masalah kecederaan.

Mungkin menyedari perlu mencari gol, B. Sathianathan bertindak mengeluarkan Norshahrul bagi memberi ruang buat Akmal Rizal di bahagian serangan.

Akmal menggunakan peluang yang diberikan apabila menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-73 setelah bijak menyudahkan gerakan awal Hairudin Omar dan Badri Radzi seterusnya mengembirakan 18 000 penyokong Kelantan yang berada di Stadium.

Selepas gol tersebut, Kelantan berpeluang menambah jaringan apabila Hairudin melakukan satu sepakan gunting tetapi Sani Annuar Kamsani lebih bersedia menyelamatkan pintu gol kawalannya.

Bagi menambah ketajaman di bahagian tengah, Sathianathan memasukkan Khairan Eroza untuk mengantikan Badri Radzi. Khairan mempamerkan persembahan bertenaga bersama Shakir Shaari untuk mengempur kubu pasukan pelawat.

Gerakan yang diatur dari tengah menerbitkan ancaman berganda memaksa pemain benteng Negeri Sembilan bertungkus lumus memepertahankan kubu mereka dari dibolosi pemain Kelantan.

Saat akhir perlawanan, Negeri Sembilan mula melakukan taktik menyerang secara agresif apabila melakukan beberapa percubaan bahaya yang boleh membuahkan gol penyamaan.

Bermula dengan percubaan Zaquan Adha pada minit ke-83, Negeri Sembilan hampa apabila pemain gantian mereka, Firdaus Azizi melepaskan peluang terbaik memberikan satu mata kepada pasukannya setelah percubaan jarak dekat pada minit-minit terakhir berjaya ditangkap oleh Khairul Fahmi.

Selepas percubaan tersebut, wisel penamat dibunyikan Ramli Mat Dahan untuk memberikan tiga mata penuh kepada Kelantan seterusnya membuka kembali ruang Sang Kijang untuk mengejar Selangor di kedudukan teratas setelah Merah Kuning mencatatkan kekalahan mengejut kepada Perak di Ipoh.

Kelantan: B. Sathianathan.

Khairul Fahmi (Gk), S. Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail, Daudsu Jamaludin, Indra Putra (c), Badri Radzi (Khairan Eroza), Shakir Shaari, Norfarhan Mohamed, Norshahrul Idlan (Akmal Rizal) dan S. Chanturu (Hairudin Omar).

Negeri Sembilan: Wan Jamak Wan Hassan

Sani Annuar Kamsani (Gk), Mohd Rahman Zabul, Tengku Qayyum, S. Kunanlan, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Shukor Adan, Idris Karim, Rezal Zambery Yahya (c), Abdul Halim Zainal dan Shahurain Abu Samah. ( Qhairil Anwar, Mohd Firdaus Azizul, Mohd Asyraf Al Japri)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular