Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail (kanan) dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah (tiga, kiri) antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis makan malam Kelate.Net bersama pemain Liga Super Kelantan di ibu negara malam semalam.
KUALA LUMPUR – Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail melahirkan rasa kagumnya terhadap sambutan yang disifatkannya luar biasa daripada peminat dan penyokong setia bola sepak Kelantan yang berada di Lembah Kelang.
“Kita adalah satu-satunya pasukan yang mempunyai jumlah penyokong fanatik paling ramai di negara kita setiap kali terlibat dalam perlawanan liga,” katanya kepada pemberita ketika majlis makan malam bersama peminat di ibu negara semalam. “Penyokong adalah tulang belakang disebalik jatuh bangun sesebuah pasukan. Kita harus berbangga kerana memiliki penyokong yang mempunyai jatidiri yang tinggi memberi sokongan kepada pasukan negeri.
“Anda dapat lihat sambutan (majlis makan malam) peminat malam ini. Mereka hadir beramai-ramai memberi sokongan sambil beramah mesra dengan pemain Kelantan. Sambutan sebegini begitu mengujakan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kini sudah bersedia sepenuhnya mengharungi detik penting bagi membantu Kelantan merangkul trofi kejuaraan liga.
“Tempoh rehat selama sebulan akan berakhir sedikit masa lagi. Dalam tempoh itu, kita giat menjalani latihan harian disamping mengadakan tiga perlawanan persahabatan disini (Kuala Lumpur).
“Kita memperolehi keputusan yang baik daripada tiga perlawanan itu. Saya melihat pemain kini sudah bersedia 90 peratus bagi menyambung baki perlawanan liga selepas ini.
Ketika ditanya mengenai perubahan jadual perlawanan liga, Sathianathan berkata, suka atau tidak, beliau harus menerima perubahan tersebut.
Kelantan akan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 6 Julai ini diikuti pertemuan menentang Gergasi Lembah Kelang, Selangor di Stadium Shah Alam pada 10 Julai nanti.
“Dari segi persiapan fizikal, itu tidak merisaukan saya. Tahap kecergasan pemain berada di terbaik ketika ini. Walaupun mereka diberi cuti 10 hari sejurus perlawanan terakhir menentang Perak awal bulan lalu, tetapi mereka tetap mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.
“Pemain akan menyambung latihan pada hari esok (hari ini) sekembali mereka ke Kota Bharu. Tiada masa rehat bagi mereka kerana kita akan mengharungi perlawanan penting menentang Negeri Sembilan pada hari Selasa ini,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan