Sathianathan cemas sebelum menang
AKSI goyah yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya ketika bertemu Pahang pada aksi Liga Super malam kelmarin telah mengundang keresahan buat jurulatih Kelantan B. Sathianathan.
Tanpa berselindung, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, sikap memandang rendah terhadap kemampuan pemain Pahang hampir mengundang padah kepada pemain Kelantan.
“Walaupun berjaya meraih tiga mata, tetapi saya tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain.
“Dalam tiga perlawanan sebelum ini, kita bermain cemerlang, tetapi aksi malam kelmarin cukup mengecewakan saya," katanya di Kota Bharu semalam.
Menurutnya, bukan beliau sahaja tidak berpuas hati dengan aksi tersebut, tetapi ribuan peminat setia Kelantan turut kecewa dengan aksi yang dipamerkan.
“Saya telah mengingatkan kepada pemain, jangan pandang rendah kemampuan lawan (Pahang). Inilah padahnya apabila kita berfikiran sedemikian.
“Apa yang memeningkan saya, bila kita bertemu dengan pasukan yang kuat, kita main dengan cemerlang tetapi bertemu dengan pasukan yang mungkin sedikit lemah, kita gagal mengekalkan rentak cemerlang," katanya.
Sathianathan berkata, pemain Kelantan tidak bermain sebagai satu pasukan pada pertemuan dengan Pahang.
“Inilah masalahnya. Mereka jelas tidak bermain sebagai satu pasukan.
“Kita semua dapat tengok apabila kita kehilangan bola, bahagian serangan dan tengah tidak berusaha untuk mendapatkan kembali bola tersebut.”
Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Pahang 2-1 pada aski Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV.
Nor Shahrul Idlan Talahah terus membuktikan kehebatan apabila menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-42.
Nik Zul Aziz Nawawi menghukum kealpaan barisan pertahan Kelantan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-53 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Penyerang vateran Kelantan, Hairuddin Omar membuktikan ketajaman penyudah apabila menghadiahkan gol kemenangan Kelantan pada minit ke-73.
Dengan kemenangan ini Kelantan berjaya melonjak ke tangga kedua dengan 28 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan