KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 2 Mei 2010

Kelantan mahu rantai penyerang Tok Gajah emel


KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad Red Warriors, B.Sathianathan menjanjikan 'layanan istimewa' kepada penjaring gol terbanyak Pahang, Azammuddin Mohd. Akil pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Rabu ini.

Ini kerana, kata Sathia, skuadnya sengaja mengundang bahaya jika terlalu memberikan ruang kepada pemain kelahiran Kuala Lipis itu, kerana sentuhan Azammudin di depan gol cukup berbisa.

Malah, Sathia cukup arif terhadap keupayaan Azammuddin, kerana pernah melatih pemain itu semasa menjadi jurulatih kebangsaan.

''Azammudin merupakan nadi kekuatan serangan Pahang.

'Saya akan mengarahkan pertahanan untuk tidak terlalu memberikan banyak ruang kepadanya untuk bergerak bebas.

''Azammudin boleh memusnahkan hasrat Kelantan memungut tiga mata penuh, kerana dia bukan sahaja berkeupayaan menjaringkan gol, malah mampu mencipta ruang kepada rakan sepasukannya melakukan jaringan,'' kata Sathia semasa dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelantan, di tangga ketiga dengan 25 mata menunjukkan persembahan cemerlang apabila merakamkan kemenangan kali ketiga berturut-turut dengan sembilan gol.

Selain itu, Sathia memberikan amaran kepada pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan skuad Tok Gajah.

''Pahang sebuah pasukan yang tiada apa-apa untuk dibimbangkan.

''Mereka akan bermain tanpa sebarang tekanan kerana sudah pasti ramai menjangkakan Kelantan akan menang mudah dalam perlawanan tersebut.

''Oleh itu, saya bimbang jika semua pemain bersikap terlalu yakin, terutamanya selepas kami mencapai kemenangan tiga kali berturut-turut kerana ia boleh mengundang padah,'' ujarnya.

Ditanya sasaran Kelantan pada musim ini, Sathia yakin skuadnya mampu mengejar kedudukan Selangor di tangga teratas Liga Super.

''Perjalanan liga masih jauh dan kita baru sahaja mahu menghabiskan saingan pusingan pertama.

''Kita tidak jauh di belakang Selangor dan jika pemain terus mempamerkan aksi konsisten, kami mampu menjelmakan impian tersebut, '' katanya.

Dia juga turut menghamburkan pujian terhadap dua pemainnya, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Badhri Mohd. Radzi yang disifatkannya kini berada di kemuncak prestasi.

''Mereka berdua belum menunjukkan keupayaan sebenar, saya yakin lebih banyak lagi aksi menarik dan gol akan mereka berikan kepada Kelantan,'' jelasnya.

Kelantan akan turun berdepan Pahang tanpa khidmat pemain pertahanan, Mohd. Daudsu Jamaluddin yang digantung satu perlawanan, selepas menerima lima kad kuning.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular