INDRA (kanan) tidak dapat beraksi malam ini kerana menjalani penggantungan perlawanan.
KELANTAN tidak rela kehilangan tiga mata apabila berdepan pasukan di tangga tercorot Liga Super, Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini.
Meskipun turun tanpa khidmat kapten, Indra Putra Mahyuddin yang digantung satu perlawanan akibat mengumpul tiga kad kuning, ia tetap tidak merencatkan perancangan skuad Wira Merah itu untuk mencipta kemenangan di gelanggang lawan. Jurulatih B. Sathianathan ketika dihubungi berkata, beliau tidak ada masalah untuk mencari pengganti Indra Putra dalam kesebelasan yang akan diturunkan pada perlawanan itu malam ini.
Menurutnya, beliau mempunyai kepercayaan penuh terhadap semua pemainnya dan siapa sahaja yang akan diturunkan, mampu mempamerkan aksi terbaik.
"Inilah masanya untuk mereka membuktikan kebolehan masing- masing terutama pemain simpanan.
"Saya berharap pemain dapat memberikan yang terbaik dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan berlangsung," katanya.
Tambahnya, tiada lagi alasan buat anak-anak buahnya untuk tidak beraksi cemerlang pada perlawanan malam ini kerana mereka semua tahun tentang sasa- ran pasukan.
"Namun, saya tetap mengingatkan mereka agar jangan mengambil mudah perlawanan ini kerana Pulau Pinang pasti akan turun bermati-matian.
"Untuk mencapai kemenangan, pemain perlu memanfaatkan setiap peluang yang terhidang untuk memastikan tiga mata berharga milik kami," ujarnya.
Jelasnya, walaupun Pulau Pinang bukan sebuah pasukan yang kuat, namun dalam bola sepak apa-apa pun boleh terjadi.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku rombakan dalam kesebelasan utamanya, Sathianathan memberitahu, Akmal Rizal Rakli bakal bergandingan dengan Nor Shahrul Idlan Talaha untuk mengemudi barisan serangan.
"Saya harap dia (Akmal) dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membuktikan ketajaman penyudahnya," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan