PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menolak apa saja yang boleh ditafsirkan judi untuk dikaitkan dengan sukan itu kerana perjudian dalam sukan terbabit tetap tidak mendatangkan sebarang faedah. Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, berkata sekiranya kerajaan memberikan kelulusan lesen judi untuk bola sepak, ia hanya menguntungkan beberapa syarikat yang diberi lesen judi itu. Selain itu, katanya, bookie akan berleluasa untuk cuba mempengaruhi permainan seterusnya merosakkan sukan bola sepak. Bola sepak tidak seharusnya dikaitkan dengan perjudian kerana motif kemenangan ialah keuntungan semata-mata. “Sebarang aktiviti berkaitan dengan perjudian dan pertaruhan membabitkan sukan bukan saja haram di segi agama tetapi turut mengundang perkara negatif. “Bola sepak adalah sukan dan ia tidak seharusnya dikaitkan dengan perjudian. Dalam sukan ia kejayaan diperoleh secara berpasukan,” katanya yang turut mempertikaikan kenapa selama ini pembabitan syarikat rokok diharamkan tetapi judi pula hendak dibenarkan. Annuar berkata, meskipun kelulusan lesen judi terbabit dikeluarkan bagi perlawanan Piala Dunia bermula 11 Jun depan tetapi ia tidak mustahil mempengaruhi perlawanan bagi liga tempatan. Dalam perkembangan sama, Annuar, berkata dalam mesyuarat khas Kafa kelmarin, pihaknya mencadangkan supaya pada musim datang pemain import dibenarkan beraksi semula dalam Liga Malaysia. Katanya, agak janggal bagi Liga M tidak membenarkan pembabitan pemain luar kerana semua negara di rantau ini membenarkan pemain import beraksi dalam liga masing-masing. “Sebagai contoh, Singapura bukan saja membenarkan pemain import malah turut membenarkan pasukan asing beraksi dalam liga mereka untuk pendedahan berguna kepada pemain tempatan di sana. “Bagi saya, kenapa perlu menghantar pemain kita untuk beraksi dalam liga luar dan kenapa tidak bawa mereka bermain dalam liga tempatan di sini saja,” katanya selepas sidang akhbar mengenai Karnival The Red Warriors, semalam.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan