KELANTAN MENANG TETAPI SATHIA KECEWA
KOTA BHARU - Walaupun Kelantan berjaya menundukkan Perlis 2-1 dalam saingan Liga Super kelmarin, namun pretasi pasukan itu di Stadium Sultan Muhammed IV jauh daripada memuaskan jurulatihnya, B. Sathianathan.
Kata Sathia, pasukannya bernasib baik memenangi perlawanan tersebut, meskipun beraksi buruk, terutama pada babak kedua.
Menurut Sathia, anak-anak buahnya bagaikan hilang punca pada separuh akhir apabila mudah terlepas bola setiap kali diasak lawan.
"Kalau macam nilah kita main (separuh masa kedua), lupakan sahaja hasrat mencabar kejuaraan musim ini. Bagi saya ia aksi yang cukup teruk.
"Kalau mahu menang dengan Kedah, kita kena lupakan aksi ini dan kembali fokus barulah kita ada peluang di Darul Aman," katanya.
Ditanya kenapa dia mengeluarkan pemain pertahanan kental, Azizi Mat Rose, Sathia menjelaskan keputusan tersebut wajar terutama ketika pemain-pemainnya seakan-akan hilang fokus terutama babak kedua.
"Saya tahu ramai yang tidak setuju dengan tindakan tersebut. Sebagai jurulatih saya tahu apa yang patut dilakukan demi untuk kebaikan pasukan.
"Kalau seseorang pemain itu tidak mampu beraksi dengan baik kita perlu keluarkan untuk memberi peluang kepada pemain lain,'' ujarnya.
Tambahnya lagi, keputusan mengeluarkan Azizi dibuat selepas mendapati pemain tersebut keletihan serta tidak beraksi seperti biasa ketika ditugaskan menjaga pemain pelawat.
"Protes yang ditunjukkan mungkin suatu yang baik kerana ia menunjukkan seseorang pemain itu sentiasa ingin bermain.
"Tetapi semalam saya nampak dia (Azizi), tak main seperti biasa, mungkin keletihan kerana sudah beraksi dalam 16 perlawanan.
"Dia juga sudah menemui saya dan meminta maaf selepas perlawanan dan saya harap ia tidak akan menjejaskan persiapan kita untuk menentang Kedah Selasa ini (esok)," ujarnya.
Pada perlawanan itu, Kelantan yang dibantu sorakan hampir 25,000 penyokong mempamer aksi bertenaga apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-29 menerusi peledak sensasi kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talha selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti.
Pada minit ke S. Chanturu kembali menggamatkan suasana Stadium Sultan Muhammad IV apabila menjaringkan gol ke dua tuan rumah pada minit ke-34.
Gol sagu hati pelawat diperoleh melalui Wan Khairul Faiz Kamaruddin minit ke-49.
Dengan kemenangan ini, Kelantan terus menghambat Selangor yang dibezakan dengan enam mata saja.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan