KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 24 Mei 2010


Kedah Menanti, Kelantan Hadapi laluan Getir.




Kelantan menghadapi laluan berliku apabila bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah dalam saingan Liga Super, selasa depan.

Kedah mulai bangkit setelah mempamerkan persembahan ala yo-yo setakat ini manakala Kelantan masih belum tewas dalam tujuh perlawanan pasti hadir dengan semangat tinggi untuk menjulang kemenangan.

Rekod pertemuan pusingan pertama, Kelantan tewas 0-1 kepada lawan di Kota Bharu manakala dalam saingan Piala FA, Kedah membenam Sang Kijang dalam penentuan gol tempat lawan setelah terikat 0-0 di Alor Setar sebelum sekali lagi terikat 1-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV.

Kunjungan Kelantan sememangnya dinanti-nantikan peminat Sang Kenari kerana rekod pertemuan sebelum ini membuktikan kehadiran pelawat sememangnya berbaloi untuk ditonton kerana aksi yang dipaparkan pasti mendebarkan disamping disajikan dengan corak permainan pantas.

Begitu juga dengan Kelantan, perlawanan ini menjadi faktor penentu kelangsungan cabaran Sang Kijang dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super.

Andai tewas yang dicapai manakala Selangor selesa menewaskan lawan selepas ini, Kelantan terlepas peluang mengejar setelah ketinggalan 9 mata tetapi andai tiga mata berjaya dituai, persaingan merebut kedudukan pertama masih lagi terbuka.

Berbalik kepada jangakaan kesebelasan utama, posisi pertama ataupun penjaga gawang Kelantan sudah pasti dimiliki pelatih skuad Kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. Walau mempunyai penjaga gol simpanan yang berkaliber iaitu Syed Adney, Kelantan tidak mungkin mengambil risiko untuk menggunakan pemain ini.

Namun ia bergantung kepada Sathianathan, andai pengendali ini ingin menggunakan pemain yang mempunyai banyak pengalaman sudah pasti Adney sememangnya layak mengantikan Khairul Fahmi.

Cuma yang menjadi kerungsingan kini ialah kekebalan pertahanan Kelantan semakin terhakis setelah melepaskan banyak gol sejak akhir-akhir ini.

Kehadiran Azizi, Subramaniam, Daudsu dan Farisham dalam pertemuan menentang Perlis tidak mampu memberikan 'cleen Sheet' selepas bolos pada awal babak kedua. Namun mereka berempat masih lagi diberi kepercayaan meneraju barisan pertahanan setelah Zairul Fitree direhatkan tiga minggu akibat kecederaan manakala Zamri Ramli sudah jauh dari prestasi asal.

Sharudy Aziz pula tidak diyakini mampu menghalang pemain muda lawan dan Rizal Fahmi mungkin dimasukkan sebagai pemain gantian kepada yang cedera atau keletihan.

Jentera tengah mempamerkan persembahan baik pada babak pertama menentang Perlis namun kehilangan fokus pada babak kedua akibat sikap seorang dua pemain yang tamak selain mudah kehilangan bola kepada pihak lawan.

Tetapi Sathianathan dikatakan tidak keberatan untuk mengantikan pemain yang tidak fokus kepada perlawanan dengan pemain yang lebih bersikap profesional ketika didalam padang. Walaupun begitu, Indra Putra, Badri Radzi, Shakir Shaari dan Norfarhan masih utuh untuk mengekalkan kedudukan mereka didalam skuad.

Kecuali ketua jurulatih ingin menggunakan taktikal lain, mungkin Khairan Eroza, Zulyusri ataupun Wan Zaman akan diletakkan di posisi kesebelasan utama.

Jentera serangan Kelantan pula ketika ini hanya mengharapkan Norshahrul Idlan Talaha menjadi mesin meletakkan bola kedalam jaring. Norshahrul menjaringkan gol hampir dalam setiap perlawanan ketika ini malah memberikan persembahan keseluruhan membantu pasukan.

Justeru itu, tempat Norhshahrul sudah terjamin kecuali satu lagi tempat yang mungkin menjadi rebutan diantara Hairudin Omar, S. Chanturu, Akmal Rizal, Che Hishamudin dan Nidzad Ayub serta Ramzul Zahini Adnan.

Satu kebetulan kini, pemain penyerang Kelantan mula bersaing secara sehat untuk merebut tempat mereka dalam kesebelasan utama. Masing-masing cuba menunjukkan kelebihan bagi memikat hati B.Sathianathan seterusnya menjadi pilihan diletakkan dalam 11 pemain utama turun dalam perlawanan.

Yang perlu diingat setiap pemain membarisi skuad menentang Kedah, mereka perlu fokus dan jangan lalai kerana lawan ketika ini mula menampilkan aksi cemerlang selain baru pulang ceria dari Johor Bharu menewaskan Johor Fc.

Kehandalan mereka adalah melalui serangan balas setelah dibarisi beberapa tonggak muda yang pernah membarisi skuad Kebangsaan. Pemain seperti Badrol Bakhtiar, Kharil Muhaimeen, Faizal Abu Bakar serta Saramsak Kram mampu menghadirkan ancaman melalui larian pantas ke pintu gol lawan.

Selain itu, Kedah turut mengharapkan beberapa tonggak berpengalaman setakat ini untuk mengecewakan lawan seperti Fauzi Shaari, Shahrul Nizam Mustapha, Azmi Muslim dan Zamri Chin. Mereka ditugaskan membimbing pemain muda Kedah selain mengemudi barisan Sang Kenari dalam setiap perlawanan.

Satu kemujuran buat Kelantan apabila penyerang sensasi berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Azlan Ismail dilanda kecederaan pangkal paha.

Perlawanan ini juga menjadi medan kepada kedua-dua pengendali pasukan untuk mencatatkan kemenangan mutlak setelah tiga perlawanan sebelum ini terikat seri. Sathianathan hadir dengan niat mencari mata manakala Ahmad Yusof mahu membuktikan bahawa pihak KFA tidak silap memilihnya sebagai pengendali bekas juara 'double treble' tersebut.

Masih ada dua hari sebelum perlawanan dan ini memberi ruang kepada kedua-dua jurulatih untuk membentuk persefahaman mantap sebelum turun bersaing. Kelantan hadir dengan reputasi tinggi manakala Kedah menanti dengan status gemilang.

Sama-sama kita nantikan kesudahan perlawanan adakah Kedah mampu mengecewakan Kelantan dan mampukah Red Warriors mengenakan Sang Kenari dihadapan ribuan penyokong mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular