Kafe, radio internet KAFA | emel |
UTUSAN ONLINE KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melangkah setapak lagi dalam usaha menjadikan pasukan itu sebagai salah satu jenama sukan tanah air apabila membuka kafe The Red Warriors Station (TRWS) serta radio Internet rasmi mereka, The Red Warriors FM (TRW.FM). Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan. “Kafe ini akan dijadikan sebagai tempat untuk peminat bola sepak berkumpul, malah di sini juga pelbagai cenderamata pasukan The Red Warriors akan dijual. “Selain itu, dengan adanya radio rasmi ini, peminat The Red Warriors di seluruh dunia dapat mengetahui perkembangan semasa pasukan dan mengikuti setiap perlawanan secara langsung,” katanya. Upacara perasmian TRWS dan TRW.FM telah dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. TRWS dibuka atas ilham dan pelaburan seorang usahawan terkenal yang juga peminat setia The Red Warriors, Datuk Siti Hamidah Hamad. Sementara itu, Shabery ketika berucap berkata, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdiri di kaki sendiri. “Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan. “Malah, mereka mampu membuka sebuah gedung yang menjual pelbagai jenis barangan sukan kepada peminat mereka,” katanya. Jelas beliau, situasi tersebut masih belum dapat dilihat di negara ini apabila mana-mana pasukan bola sepak selalunya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan untuk menjayakan operasi mereka. Sehubungan itu, beliau percaya sekiranya peminat sukan tanah air memberi sokongan sepenuhnya kepada pasukan mereka, satu transformasi untuk menjadikan bola sepak sebagai industri akan dapat dilihat dalam sedikit masa lagi. “Bagi penyokong di luar negara, mereka akan membeli barang asli yang dikeluarkan oleh pasukan kerana bagi mereka ini adalah satu cara untuk memberi sokongan. “Akhirnya, kelab mampu membina stadium sendiri malah mereka juga membayar cukai kepada kerajaan bukannya mengharapkan bantuan semata-mata,” tegas beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan