KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 25 Ogos 2012

PIALA MALAYSIA 2012 – KELANTAN LWN KEDAH

KELANTAN MAHU BALAS KRITIKAN

KOTA BHARU – Juara Liga Super 2012, Kelantan tidak punya pilihan, kecuali menundukkan Kedah pada aksi kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini jika mahu mencerahkan peluang ke suku akhir.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim percaya, kekalahan kepada Terengganu dalam aksi sulung Kumpulan B tidak mematahkan semangat The Red Warriors, sebaliknya mereka bagaikan singa lapar apabila berdepan Kedah.

Katanya, selepas berdepan kritikan ekoran kekalahan itu, pemain Kelantan bersemangat untuk bangkit mencari tiga mata penuh.
“Saya harap pemain dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan esok (hari ini).
“Peluang beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mendapatkan tiga mata penting.

“Berdepan Kedah bukan tugas mudah kerana mereka juga pasti akan bermain mati-matian untuk menang selepas tumbang pada perlawanan pertama.

“Tetapi, kita juga mahu kemenangan dan telah bersedia untuk mencipta kebangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Bola Sepak Kelantan di Seri Puri Bukit Marak di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, Kelantan akan membuat rombakan kecil bagi menghadapi perlawanan tersebut.

“Mohammad Ghaddar akan kembali ke pangkuan pasukan selepas penggantungan. Kehadirannya bakal menguatkan lagi jentera serangan pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, Azman menyeru penyokong The Red Warriors agar tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain, sebaliknya terus memberi semangat kepada mereka untuk menghadapi skuad Kenari.

“Terlalu banyak kritikan dilemparkan kepada pemain dan pasukan kerana mereka tidak puas dengan kekalahan, Rabu lalu. Ini membuatkan pemain rasa tertekan.

“Saya harap perkara ini tidak berterusan kerana Kelantan masih ada lima perlawanan untuk ditempuhi.
“Kelantan bukan tidak bermain baik tetapi nasib tidak menyebelahi apabila banyak percubaan ke gawang digagalkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular