Kelantan mengutip tiga mata penuh
apabila menundukkan Kedah 2-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium
Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Beraksi di kandang sendiri, Kelantan bermula garang apabila mengatur serangan bertubi-tubi kearah kubu Kedah.
Bagaimanapun, pelawat terlebih
dahulu menjaringkan gol melalui sentuhan Khyril Muhaimeen pada minit
ke-4 apabila larian solo dari kawasan tengah disudahkan dengan rembatan
cantik untuk menewaskan Shahrizan Ismail.
Jaringan Kedah membuatkan pemain
The Red Warriors kelam kabut seketika menyebabkan beberapa percubaan
termasuk sepakan kencang Nik Shahrul Azim pada minit ke-9 mudah
dipatahkan.
Pada minit ke-15, Kedah hampir
menjaringkan gol kedua melalui Khyril Muhaimeen tetapi percubaan dari
luar kotak penalti hanya sedikit tersasar dari sebelah kiri pintu gol
Sang Kijang.
Norshahrul Idlan Talaha hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-18 tetapi cubaan lemah mudah diselamatkan Helmi Eliza Alias.
Vedran Gerc pula menyaksikan
gerakan dari sebelah kanan pintu gol Kelantan turut ditepis Shahrizan
sebelum disepak keluar Obinna pada minit ke-22.
Usaha berterusan tuan rumah
akhirnya berhasil pada minit ke-28 selepas Afiq Azmi menyambung masuk
percubaan awal Badri Radzi yang diselamatkan Helmi Eliza untuk gol
pertama.
Jaringan penyamaan Kelantan
tidak melunturkan semangat Kedah apabila sepakan percuma Badrol Bakhtiar
yang diperoleh dari luar kotak penalti pada minit ke-33 hanya
menyinggahi palang.
Pada masa tambahan babak
pertama, lebih 25 000 penyokong The Red Warriors bersorak riang apabila
Afiq Azmi sekali lagi menggunakan kelebihan ketinggian untuk menanduk
masuk hantaran lintang Nurul Azwan Roya.
Bersambung babak kedua,
perlawanan sedikit membosankan apabila tidak banyak gerakan menarik
dapat disajikan oleh kedua-dua pasukan.
Percubaan Khyril Muhaimeen dari jarak jauh tersasar pada minit ke-50.
Tandukan Afiq Azmi pada minit ke-51 selepas menerima hantaran Zairul Fitree sedikit melewati palang gol.
Sepakan deras Norshahrul dari sebelah kanan pula melambung tinggi pada minit ke-57.
Beberapa gerakan yang cuba diatur kedua-dua pasukan turut gagal membuahkan hasil.
Satu-satunya peluang jaringan
yang dapat dilakukan ialah menerusi hantaran jauh dari Badrol Bakhtiar
pada minit ke-87 tetapi sempat diselamatkan Shahrizan Ismail.
Tambahan masa tiga minit tidak
dapat merubah keputusan perlawanan dengan Kelantan mencipta kemenangan
pertama dalam saingan kumpulan B.
Kesebelasan Utama
Kelantan : Bojan Hodak.
Shahrizan
Ismail (Pg), Nik Shahrul Azim, Obinna Nwaneri, S. Subramaniam, Zairul
Fitree Ishak, Nurul Azwan Roya (Khairul Izuan Rosli), Mohd Badri Radzi
(Kp), Norfarhan Mohamad (Mafry Balang), Shakir Shaari, Afiq Azmi (Ramzul
Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
Kedah : Radhi Mat Din.
Helmi
Eliza Alias (Pg), Fauzi Nan, Badrol Bakhtiar (Kp), Abdel Fatah, See Kok
Luen (Mohd Fiqhry), Khairul Helmi, Vedran Gerc (Mohd Faizal), V.
Thirumugan, Khayril Muhaymeen, Sabree Abu dan Sabri Sahar (Wan Mohd
Shukri).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan