The Red Warriors gagal merapatkan
jurang mata dengan pendahulu Kumpulan B apabila sekadar seri 1-1 dengan
ATM di Stadium Selayang malam tadi.
Perlawanan yang berlangsung
semalam bagaimanapun tercemar dengan insiden lontaran objek penyokong ke
dalam kawasan padang memaksa perlawanan ditangguhkan sebanyak dua kali.
Pada babak pertama perlawanan,
ATM yang turun dengan skuad terkuat dimiliki mereka cemerlang untuk
merobohkan benteng pertahanan Kelantan.
Beberapa asakan mereka hampir membuahkan hasil tetapi tidak berjaya membolosi gawang Sang Kijang.
Kelantan yang sekali sekala
mengatur serangan balas turut mempunyai peluang keemasan didepan gawang
ATM melalui Afiq Azmi tetapi pertahanan ATM, Azmi Muslim lebih pantas
mengeluarkan bola dari atas garisan gol pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, ATM
terus mendominasi perlawanan dan hampir memecahkan kebuntuan melalui
sepakan dari luar kotak Marlon Alex James pada minit ke-49 tetapi
Khairul Fahmi Che Mat pantas melayangkan badan menepis keluar.
Tidak lama kemudian, Marlon
menebus kehampaan dengan sepakan deras dari jarak dekat seterusnya
menewaskan penjaga gol Kelantan untuk jaringan pertama perlawanan pada
minit ke-55.
Terkejut dengan gol pertama tuan
rumah, Kelantan cuba mengatur serangan balas tetapi sekali lagi
dikecewakan dengan tindakan pengadil yang tidak memberikan sepakan
penalti selepas Indra Putra dan Mohd Badri Radzi dikasari menyebabkan
para penyokong yang tidak berpuas hati melontarkan objek ke dalam
padang.
Perlawanan terpaksa dihentikan selama 12 minit akibat insiden tersebut.
Bersambung selepas itu, Kelantan
akhirnya berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-87 melalui sepakan
kencang Obinna Nwaneri dari jarak dekat setelah sepakan penjuru Mohd
Badri Radzi gagal dikeluarkan pertahanan ATM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan