Kelantan gagal mencatatkan kemenangan
dalam perlawanan ujian kedua pra Piala Malaysia apabila diikat T-Team
1-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Beraksi di gelanggang sendiri,
Kelantan bagaimanapun terlebih dahulu menerima asakan T-Team melalui
gandingan Marco Tulio Silva, Fauzi Majid serta Faiz Subri.
Selepas 10 minit barulah Sang Kijang mendapat rentak melakukan serangan kearah pintu gol pasukan pelawat.
Pada minit ke-13, Kelantan
didepan setelah percubaan Nurul Azwan Roya dari luar kotak ditampan Afiq
Azmi untuk mengelirukan penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri.
Tersentak jaringan pertama tuan
rumah, T-Team mengatur gerak dan hampir menyamakan kedudukan pada minit
ke-16 melalui percubaan jarak jauh Zairo Annuar Zailani.
Tekanan berterusan pasukan
pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21 selepas satu hantaran
lintang yang dilakukan oleh Fadli Saari dari sebelah kanan ditampan
masuk pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim.
Kelantan hampir menjaringkan gol
kedua pada minit ke-24 namun sepakan leret Keita Mandjou dari luar
kotak penalti sempat dikuis Mohd Syamsuri.
T-Team turut mendapat peluang
menambah jaringan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma Zairo Annuar
tetapi Syazwan Yusof lebih bersedia menyelamatkan keadaan.
Faiz Subri pula menyaksikan
percubaannya melalui gerakan solo dari sebelah kiri terkena tiang
biarpun Syazwan sudah tertewas pada minit ke-32.
Dua minit kemudian, Afiq Azmi berjaya melepaskan satu sepakan dari luar kotak penalti tetapi mudah diselamatkan.
Bersambung babak kedua, Kelantan dan T-Team melakukan pertukaran taktikal bagi mengimbangi corak permainan masing-masing.
Namun kebanyakan serangan mereka tersekat dengan kehandalan pertahanan kedua-dua pasukan menyerap asakan yang dilakukan.
Pada minit ke-78, Kelantan
berpeluang melakukan jaringan kedua apabila gerakan Indra Putra gagal
dipergunakan Norfarhan biarpun pintu gol pasukan pelawat sudah
ternganga.
Begitu juga dengan asakan Sang
Kijang pada minit ke-87 menyebabkan Norfazly Alias hampir menjaringkan
gol sendiri tetapi tiang sebelah kanan menjadi penyelamat.
Percubaan Azlan Ismail pada minit ke-89 pula lemah kepada penjaga gol T-Team.
Selepas tambahan masa dua minit, keputusan kekal untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan jaringan 1-1.
Kesebelasan Utama
Kelantan : Bojan Hodak.
Syazwan
Yusoff (Pg), Nik Shahrul Azim, Mafry Balang, Aslam Najmudeen, Zairul
Fitree Ishak, Daudsu Jamaluddin (Kp), Norfarhan Mohamad, Indra Putra,
Nurul Azwan Roya, Afiq Azmi dan Keita Mandjou.
T-Team : Yunus Alif.
Mohd
Syamsuri (Pg), Nor Fazly Alias, Tengku Hasbullah, Zairo Annuar Zailani
(Kp), Marco Tulio Silva, Mohd Faiz Subri, Mohd Hisbullah, Mohd Fadli
Saari, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan dan Fauzi Majid.