Laporan : Kelantan Kutip Tiga Mata Pertama.
Kelantan menang mudah 3-0 keatas Arema FC dalam saingan Piala AFC 2012 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Terima kasih dengan ledakan
hatrik penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar untuk memberikan
kemenangan pertama buat The Red Warriors di saingan peringkat Asia.
Permulaan babak pertama
menyerlahkan penguasaan penuh Kelantan dengan beberapa gerakan menarik
yang disusun melalui gandingan Ghaddar dan Antwi.
Bermula dengan percubaan
tersasar Danny Antwi pada minit ke-11, Kelantan terus mengasak dengan
sepakan lemah Chanturu kepada penjaga gol Arema, dua minit kemudian.
Pada minit ke-19, Arema
mempunyai kesempatan terbaik untuk memecahkan kebuntuan tetapi sepakan
kencang Talaohu Abdul Musafri tepat kepada Shahrizan Ismail.
Tidak sampai seminit, giliran
Chanturu mengancam kubu Arema melalui gerakan dari sebelah kanan namun
percubaan pemain ini tersasar walaupun hanya berdepan Dennis Romanovs.
Usaha berterusan The Red
Warriors akhirnya membuahkan hasil apabila gerakan solo Mohamad Ghaddar
berhasil menewaskan pertahanan Arema sebelum melepaskan satu rembatan
melepasi jangkauan Romanovs untuk gol pertama pada minit ke-23.
Selepas jaringan tersebut,
perlawanan berubah tegang dengan beberapa insiden tidak sepatutnya
berlaku menyebabkan pemain Arema, Hermawan dilayangkan kad kuning.
Bersambung babak, Arema
terlebih dahulu melakukan percubaan merbahaya apabila sentuhan Andrew
Barisic didepan pintu gol Sang Kijang hanya mengenai tiang gol.
Tersentak dengan cubaan
pelawat, Kelantan melancarkan serangan balas dan berhasil menambah
jaringan selepas sepakan penjuru Mohd Badri Radzi tepat kepada Ghaddar
untuk tandukan terus menerjah jaring pada minit ke-47.
Arema bagaimanapun tidak
berputus asa untuk merapatkan kedudukan dan hampir melakukan jaringan
pada minit ke-50 tetapi mujur tiada pemain mereka menyambar hantaran
lintang Barisizc didepan pintu gol tuan rumah.
Kelantan turut hampir menambah jaringan selepas sepakan percuma Badri Radzi mudah ke dakapan Romanovs pada minit ke-52.
Sepakan separa volley Talouhu
Abdul Mushafri hasil keadaan kelam kabut didepan pintu gol Kelantan
pada minit ke-56 pula hanya melewati palang gol.
Tidak beberapa lama kemudian, percubaan pemain gantian, Ahmad Amiruddin berjaya diselamatkan Shahrizan Ismail.
Keghairahan pelawat melakukan
serangan hampir mengundang padah apabila serangan balas Kelantan pada
minit ke-70 bagaimanapun gagal menembusi gawang mereka selepas Ghaddar
lambat melakukan percubaan biarpun penjaga gol sudah meninggalkan
posisi.
Percubaan pemain gantian Sang Kijang, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-82 pula terus ke dakapan penjaga gol Arema.
Marco Krasic hampir merapatkan
kedudukan pada minit ke-89 tetapi cubaan pemain tengah Arema ini hanya
menyinggahi palang sebelum dikeluarkan pemain Kelantan dari kawasan
bahaya.
Seminit kemudian, Ghaddar
akhirnya melengkapkan hatrik selepas serangan balas dari sebelah kanan
hasil hantaran Nik Shahrul Azim disudahkan dengan satu rembatan rendah
gagal diselamatkan Romanovs untuk gol ketiga dan terakhir perlawanan.
Kesebelasan Pemain
Kelantan : Bojan Hodak
Shahrizan
Ismail (Gk), S.Subramaniam, Daudsu Jamaludin (Nik Shahrul Azim), Obinna
Nwaneri, Rizal Fahmi Rosid, Mohd Badri Radzi (Kp), Shakir Shaari, Nurul
Azwan Roya (Indra Putra Mahayuddin), S. Chanturu, Danny Antwi dan
Mohamad Ghaddar (Faizol Nazlin Sayuti).
Arema FC : Dojan Antonic
Dennis
Romanovs (Gk), Fariz Bagus, Roman Cmelo (Aji Saka), Andrew Barisic,
Hermawan, Irfan Raditya, Putut Waringin (Ahmad Amiruddin), Gunawan Dwi
Cahyo, Legimin Raharjo (Kp), Talaohu Abdul Mushafri dan Marko Krasic
(Anggo Yulian)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan