Tonggak Kelantan 2011
Senarai akhir pemain Kelantan masih belum diumumkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) namun kebanyakan teka-teki dan khabar angin sudah terjawab.
Musim 2011, Sang Kijang bakal mempertaruhkan sentuhan pemain berbakat kelahiran Kelantan dan pengalaman yang dimiliki beberapa tonggak utama.
Kehilangan secara besar-besaran pemain utama musim lepas merencatkan persiapan Red Warriors tetapi dengan kembalinya Wan Rohaimi dan Khalid Jamlus diharap mereka mampu membuahkan sesuatu kepada Kelantan.
Mengontrakkan pemain muda seperti Nurul Azwan Roya, Aziz Ismail dan Solehin Kanasian Abdullah dijangka memberikan kekuatan tambahan kepada skuad bimbingan B. Sathianathan.
Kehadiran tiga pemain ini mungkin memberi impak besar tambahan pula Kelantan tidak ketandusan bakat muda seperti Ramzul Zahini Adnan, Nidzad Ayub, Aris Zaidi dan Izuan Salahudin.
Gandingan pemain yang sudah mencipta nama dengan pemain sedang meningkat naik mampu menghadirkan gerun buat pasukan lawan tetapi paling utama ketika ini ialah bagaimana dan apa yang perlu dilakukan agar semua pemain dapat mencari persefahaman dengan segera.
Kelantan juga bertuah kerana kelibat penjaga gol terbaik negara dan penyerang paling bernilai masih lagi dapat disaksikan di Kota Bharu. Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan bakal mencorakkan kekuatan Kelantan di bahagian depan dan tempat paling bawah.
Manakala tonggak berpengalaman seperti Mohd Shahrizan Ismail, Badri Radzi, Khairan Eroza, dan S.Subramaniam pula diharapkan mampu memperlihatkan persembahan konsisten sepanjang Liga Malaysia, tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan