KOTA BHARU – “Padang dah jadi tak macam padang”. Begitulah rungutan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan setelah melihat keadaan permukaan padang di Stadium Sultan Muhammed IV yang mengalami kerosakan yang teruk akibat penggunaan yang terlalu kerap ketika musim hujan yang melanda negeri ini sekarang.
Sathianathan berkata, beliau begitu kecewa dengan situasi yang menimpa permukaan padang tersebut yang merupakan satu-satunya gelanggang yang sesuai digunakan untuk pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan.
“Saya cukup hampa dengan situasi ini kerana kita hanya ada satu stadium terbaik sahaja di Kelantan namun keadaan padang begitu mendukacitakan. Anda (peminat) boleh datang sendiri tengok keadaan padang.
“Saya tidak faham mengapa perkara ini harus berlaku. Saya sendiri pun takut hendak menggunakan padang ini ketika musim hujan kerana tidak mahu rosak tetapi mengapa masih ada pihak yang tetap mengadakan dua perlawanan pada setiap malam.
“Sebab takut rosaklah maka saya hanya menggunakan bahagian tepi stadium (kawasan trek) untuk sesi latihan stamina sementara untuk sesi latihan padang, saya menggunakan padang lain (di Padang Mardi, Pasir Tumbuh),” katanya.
Sathianathan berkata, persiapan pasukan Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia sebulan lagi bakal terjejas sekiranya keadaan permukaan padang yang teruk itu tidak diperbaiki.
“Macam mana saya hendak jemput pasukan luar datang beraksi dalam perlawanan persahabatan pada 10 Disember ini kalau keadaan padang teruk macam ini. Macam mana kita hendak main, saya pun malu tengok padang macam ini apatah lagi pasukan luar datang tengok.
“Peminat selalu bertanya bila kita hendak mengadakan perlawanan persahabatan. Saya nak jawab pun susah kalau keadaan padang macam ini. Kita perlu mengadakan sebanyak mungkin perlawanan sebagai persiapan menghadapi Selangor. Takkan kita hendak mengadakan perlawanan persahabatan di luar Kelantan. Paling banyak pun tiga perlawanan sahaja hanya kita boleh adakan,” katanya.
Sathianathan berkata, beliau berharap pihak berkenaan mengambil langkah segera memulihkan permukaan padang di stadium tersebut.
“Kalau tindakan segera tidak diambil, saya risau keadaan padang akan menjadi lebih buruk. Hanya padang ini sahaja yang kita ada, jadi jagalah sebaik-baiknya.
“Tempoh dua minggu belum tentu cukup untuk membaiki permukaan padang ini. Keadaan padang dah jadi tidak rata. Saya tak mahu nanti orang cakap kita main bola dalam sawah padi atau macam main ragbi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan