KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 20 Disember 2010

KAFA Sasar Empat Terbaik Musim Depan

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mensasarkan skuad The Red Warrior berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran tersebut dianggap realistik memandangkan musim yang bermula awal tahun depan merupakan peluang baru untuk Kelantan membina sebuah pasukan yang benar-benar mantap bagi menghadapi saingan liga tahun 2012.

“Kita memandang ke hadapan. Untuk muncul sebagai sebuah pasukan bola sepak yang terbaik di negara ini kita perlu memulakan persiapan daripada sekarang. Sebab itu saya mensasarkan berada kelompok empat pasukan terbaik dalam saingan liga sudah memadai kerana apa yang lebih penting ialah cabaran pada tahun 2012,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Kita tidak mahu memberi tekanan yang melampau-lampau kepada pasukan. Walaupun kita adalah naib juara Liga Super musim lalu tetapi kita perlu ingat bahawa musim baru ini pasukan kita berubah wajah dengan menampilkan gabungan pemain muda dan lama.

“Fokus kita sudah pasti tertumpu kepada pembentukan pasukan dalam tempoh dua tahun ini. Jadi, salah satu faktornya kita memanggil pulang anak negeri ini yang beraksi dengan pasukan luar kembali menyarung jersi Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran dalam kejohanan Piala FA musim depan, Annuar meletakkan sasaran sekurang-kurangnya Kelantan berjaya layak ke peringkat separuh akhir.

“Memang impian kita untuk bermain dalam kejohanan Piala AFC tahun 2012. Jadi untuk bermain dalam kejohanan itu, kita perlu menjuarai sama ada Liga Super atau Piala FA. Saya letak sasaran untuk ke separuh akhir. Memang semua pasukan kalau boleh hendak muncul juara. Jadi, Kelantan harus realistik dan kalau kita jadi juara itu sudah melepasi sasaran dan tuah kepada kita.

“Kita akan tetap mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu. Itu matlamat kita. Saya sudah bercakap dengan semua pemain bahawa kita perlu mempertahankan kejuaraan yang kita menangi itu.

“Untuk itu, bermula tahun depan pembentukan pasukan kita akan lebih tertumpu kepada penggunaan pendekatan 3S (Speed, Skill and Stamina) iaitu kepantasan, kemahiran dan kecergasan. Saya akan mengambil seorang jurulatih kecergasan yang akan bertugas sepenuh masa.

“Beliau akan mengendalikan sepenuhnya aspek berkaitan kecergasan pemain dan akan merujuk kepada ketua jurulatih, B Sathianathan bagi memastikan proses pembentukan pasukan seiring dengan sasaran yang hendak dicapai,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular