Sinar Harian Terus Taja Kelantan
KOTA BHARU – Akhbar Sinar Harian sekali lagi meneruskan kecemerlangannya sebagai medium mempromosikan kegemilangan sukan bola sepak negeri ini, apabila bersetuju menyambung kontrak penajaan terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) untuk musim depan.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, sebagai penaja rasmi pasukan TRW musim lalu, pihaknya berbesar hati apabila diberi peluang menjadi penaja bersama pasukan bola sepak Kelantan buat tahun kedua berturut-turut.
“Pencapaian yang ditunjukkan pasukan Kelantan, terutamanya kejayaan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu, di samping melihat kepada keyakinan pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) sendiri, terutamanya kesungguhan Presiden, Tan Sri Annuar Musa bersama saf kepimpinannya untuk membawa pasukan Kelantan ke tahap lebih tinggi, jadi pihak Sinar Harian sekali lagi terpanggil untuk menjadi penaja bersama untuk musim depan.
“Atas dasar tersebut, pihak kami bersetuju untuk terus menjadi sebahagian daripada pasukan yang bergelar The Winning Team untuk tempoh setahun lagi. Kita juga berharap, Kelantan akan menjadi sebuah pasukan yang amat dikagumi dan disegani dalam landskap bola sepak negara pada tahun mendatang.
“Kita mencipta sejarah dan kita tidak harus berhenti daripada terus mencipta sejarah. Untuk mempertahankan kejuaraan, sebenarnya lebih sukar daripada memburu kejuaraan, namun semua itu tidak mustahil boleh kita lakukan,” katanya ketika diwawancara di Kota Bharu, semalam.
Muhammad Nasir berkata, walaupun pada hakikatnya Sinar Harian tidak perlu menjadi penaja kepada mana-mana pasukan, tetapi demi memajukan sukan bola sepak negeri ini Sinar Harian Kelantan khasnya, terpanggil untuk terus bersama menyokong pasukan Kelantan.
“Akhbar Sinar Harian juga sama seperti media cetak lain. Kalau tidak taja pun, kita tetap akan menyiarkan liputan mengenai pasukan Kelantan sebab akhbar harian sememangnya menjadi alat penyebaran maklumat kepada masyarakat.
“Kita bukan mencari publisiti. Memang Sinar Harian adalah berteraskan identiti perniagaan dan berpaksikan keuntungan, tetapi kita tidak melihat semua itu apabila kita menaja Kelantan kerana semangat kenegerian mengatasi segala-galanya dalam hal ini.
“Hubungan Sinar Harian dengan Kafa terjalin dengan baik. Mungkin ada satu dua perkara yang tidak memuaskan hati di antara kedua-dua pihak sebelum ini, namun saya percaya ia boleh diselesaikan di meja rundingan. Dalam konteks penajaan, sudah pasti kita mengharapkan hubungan kerjasama terjalin dengan baik. Satu pihak tidak boleh mendominasi ke atas pihak yang satu lagi. Kita perlu ada ‘give and take’,” katanya.
Ditanya mengenai pembaharuan yang akan dilakukan oleh Sinar Harian dalam memaparkan berita mengenai bola sepak Kelantan pada masa akan datang, Muhammad Nasir mengakui sebagai penaja rasmi pasukan TRW, akhbar ini harus mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyiarkan berita yang berbeza daripada media cetak yang lain.
“Kita harus melaporkan setiap yang benar, tepat di samping perlu menjaga kepentingan pasukan Kelantan kerana kita merupakan sebahagian daripada pasukan itu. Dari segi penghayatan penyiaran, kita mesti berbeza dari yang lain.
“Masyarakat perlu memahami kita tidak hanya menaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga setiap bentuk penyiaran berita sebanyak dua muka surat itu, khusus untuk bola sepak Kelantan juga harus ditafsirkan sebagai bentuk penajaan. Congakan dari sudut ini, tajaan seumpamanya ini pun sudah menjangkaui daripada bentuk wang ringgit yang kita hulurkan kepada pihak Kafa,” katanya.
Muhammad Nasir berkata, dalam konteks kelangsungan sebagai persatuan sukan yang terpaksa berdikari sendiri di negeri ini, pihak Kafa harus mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga dengan pihak Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.
“Jalinan kerjasama dengan ketiga-tiga pihak ini, cukup penting kalau kita mahu melihat Kafa muncul sebagai sebuah persatuan sukan yang profesional di negeri ini. Hubungan dengan pelbagai pihak ini, harus lebih tersusun sementelah urus tadbir Kafa sendiri juga perlu berada tahap meyakinkan semua pihak.
“Kita juga berharap pihak Kerajaan Pusat dan Negeri, badan-badan korporat, syarikat tempatan, peminat bola sepak dan rakyat negeri ini terus menyokong dan membantu pihak Kafa ke arah menjadi satu persatuan sukan profesional sepenuhnya dengan memiliki prasarana sukan seperti stadium bola sepak sendiri,” katanya.
Muhammad Nasir turut menekan, betapa pentingnya pihak Kafa menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pihak media di negeri ini, bagi memastikan kesinambungan sukan bola sepak di negeri ini sentiasa mendapat liputan yang lebih meluas.
“Prinsip asasnya begitu mudah. Contohnya, kalau kita ada produk yang bagus tetapi pemasaran yang lemah, tidak ada gunanya. Sama seperti dengan pasukan Kelantan, kalau mereka adalah pasukan yang kuat, tetapi pihak media tidak membantu mempromosikan mereka pun tidak ada guna juga.
“Media sebenarnya tidak mahu sanjungan tinggi. Apa yang penting, pihak Kafa harus memberi pengiktirafan atau pun penghargaan yang sewajarnya kepada kalangan pihak media di negeri ini ,yang banyak membantu menaikkan nama Kafa sebelum ini.
“Dalam setiap majlis sama ada kecil atau besar, pihak media tidak harus dipinggirkan. Mereka (media) perlu diberi keutamaan untuk memasuki stadium dengan mudah, dan di samping itu, kemudahan tempat duduk yang banyak amat diperlukan bagi memastikan mereka dapat melakukan tugasan dengan sempurna.
“Mereka bukan datang ke stadium untuk suka-suka kerana mereka datang kerana tugas. Jadi mereka perlu diberi penghargaan yang sewajarnya. Sebagai pengamal media, kita berharap impian pasukan TRW untuk menjadi sebuah pasukan yang profesional akan menjadi kenyataan dengan lebih cepat,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan