Norshahrul meniti kemasyhuran
NORSHAHRUL (kanan) dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.
“SAYA langsung tidak sangka untuk memenangi anugerah ini.”
Demikian luahan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ketika diajukan pertanyaan mengenai perasaannya selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.
“Secara jujurnya, saya langsung tidak menjangka saya akan dipilih untuk merangkul anugerah tersebut kerana pemain-pemain lain yang turut tercalon semuanya hebat-hebat belaka.
“Namun, mungkin sudah rezeki saya dan saya bersyukur kerana dipilih untuk menjadi penerima anugerah ini.
“Yang pasti, pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini,” jelas Norshahrul kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Selain anugerah MVP, Norshahrul yang juga penyerang skuad kebangsaan turut merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik.
Bak kata pepatah - ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’
Itu yang berlaku kepada Norshahrul apabila dua anugerah yang dimenanginya hadir dua hari selepas dia membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Kelantan berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan.
Sekalipun tidak mencatatkan nama sebagai penjaring, namun tidak keterluan jika Norshahrul dilabel sebagai nadi utama terhadap kejayaan yang dilakar skuad The Red Warriors itu.
Bukan sahaja pada pertemuan menentang Negeri Sembilan, malah aksi lincah penyerang berusia 24 ini sentiasa membuatkan benteng pertahanan pihak lawan menjadi kucar-kacir.
Jika dua anugerah yang dimenangi anak jati kelahiran Besut, Terengganu ini dinilai berdasarkan faktor jaringan, ternyata dia bukan pemain pilihan bagi merangkul gelaran tersebut.
Ini kerana, bekas penyerang UPB My-Team itu hanya merekodkan 14 gol sepanjang saingan musim ini.
Bagaimanapun, jaringan bukanlah faktor utama yang mengangkat Norshahrul merangkul anugerah yang dimenanginya itu.
Pelbagai aspek telah diambil kira dan dia sudah pastinya menepati kriteria-kriteria yang diperlukan barisan panel pemilih yang diketuai jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagopal.
Ternyata, kejayaannya memenangi anugerah tersebut memberi suntikan semangat buat Norshahrul yang terpilih menggalas cabaran skuad Bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Sekalipun telah melebihi had umur, Norshahrul tetap disenaraikan atas kuota tiga pemain senior.
Bagaimanapun, langkah skuad negara tersekat di pusingan kedua selepas mereka tewas 1-2 kepada bekas juara, Iran.
Namun kejayaan anak-anak buah Rajagopal melangkah ke pusingan kedua wajar diberi pujian selepas 32 tahun Malaysia gagal berbuat demikian.
“Sekalipun kami tersingkir pada pusingan kedua, namun kami telah berjaya mempamerkan peningkatan biarpun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.
“Jika kami mampu mengekalkan rentak kecemerlangan ini dan terus bekerja keras, saya yakin skuad kebangsaan mampu pergi lebih jauh pada masa akan datang,” kata Norshahrul yang meledak gol tunggal ketika menentang Iran.
Kini ujian terbaru buat Norshahrul bersama skuad kebangsaan adalah menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia.
Di bumi Guangzhou, skuad kebangsaan pincang tanpa kelibat beberapa tonggak utama.
Malangnya, pada aksi pembukaan menentang Indonesia, mereka dibelasah 5-1 meskipun dia menjaringkan gol tunggal Malaysia.
Norshahrul adalah antara pemain yang membantu skuad B-23 negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Vientiene, Loas tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan