Rakyat Kelantan berpesta
Oleh Ismail Mat dan Fakri Awang Lah
bhkb@bharian.com.my
2010/11/02
ANNUAR (tengah) menunjukkan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Kelantan kepada penyokong skuad Red Warriors di Gua Musang, semalam.
DUA kali bas dinaiki skuad Kelantan rosak dalam perjalanan pulang semalam, namun ia tidak menjejaskan kemeriahan pesta meraikan Piala Malaysia yang selamat kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang.Kejayaan pasukan bergelar The Red Warriors membawa pulang piala berprestij buat julung kali dalam sejarah 89 tahun penganjurannya, ternyata amat ditunggu-tunggu semua lapisan rakyat.Kira-kira 3,000 peminat membanjiri Dataran KESEDAR, Gua Musang semata-mata meraikan kejayaan manis itu yang tercetus dari semangat pemain pasukan itu yang bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk membenam lawan dari Negeri Sembilan 2-1 dalam final rancak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang berwajah ceria ketika berucap di majlis berkenaan memohon maaf kerana kelewatan sebab dua bas yang digunakan pasukan itu mengalami kerosakan di tengah jalan sebelum terpaksa meneruskan perjalanan dengan menggunakan kereta.
“Perjalanan pasukan Kelantan mencapai kejayaan ini ditempuhi dengan penuh keringat dan air mata. Untuk berjaya kita mesti bersatu dan berusaha, jangan menunggu hanya nak meraikan kejayaan sahaja.
“Saya gembira melihat ramai yang datang meraikan pasukan ini. Bagi saya kejayaan ini adalah hasil kebangkitan semangat semua pemain selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama,” katanya.
Selepas beredar dari Galas, pasukan terbabit menuju ke Kota Bharu menyertai acara perarakan melalui Kok Lanas, Ketereh, Mulong, Wakaf Che Yeh, Wakaf Siku, sebelum berakhir di Stadium Sultan Mohamed ke-IV. Mereka juga diraikan jamuan di kediaman Annuar dekat Sri Puri, Bukit Marak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan