Annuar Setuju Kekal Tetapi Bersyarat
BACHOK – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan kesediaan untuk terus menerajui persatuan, selepas menimbang pelbagai keperluan termasuk sokongan padu Kelab Penyokong KAFA, yang turut mendesaknya mengekalkan jawatan tersebut.
Beliau berkata, hasratnya untuk berundur, akan ditarik balik dengan menetapkan beberapa syarat utama kepada semua pemain bola sepak negeri itu, pengurusan KAFA dan penyokong untuk dipatuhi.
Menurutnya, syarat-syarat itu adalah penting kerana perkembangan yang berlaku berkaitan dunia bola sepak Kelantan, yang dinobatkan juara dalam piala Malaysia baru-baru ini, menimbulkan beberapa provokasi yang tidak selesa sebagai peneraju KAFA.
“Disebabkan juara Piala Malaysia, pemain bola sepak Kelantan semakin bernilai tinggi dan desas-desus mengenai tawaran tinggi kepada mereka oleh pasukan lain, juga kedengaran.
“Saya minta supaya bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran itu, kerana jatuh bangun kejayaan yang dicapai hari ini adalah usaha bersama.
”Kita teruskan perjuangan ini dengan semangat yang tabah dan terus setia kepada KAFA,” katanya pada majlis keraian kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia oleh Kelab Bola Sepak Bachok (KBB), di Dataran Perahu, dekat sini, semalam.
Hadir sama Yang Dipertua KBB, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan jurulatih Kelantan, B Sathianathan, semua pemain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan