Kelantan kutip Mata Maksimum.
Skuad Kelantan melengkapkan saingan kumpulan B Piala Emas Raja-Raja dengan tiga mata penuh selepas berjaya menundukkan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Gol sumbangan Khairan Ezuan Razali pada pertengahan babak kedua sudah cukup buat anak didik Zahasmi Ismail dan Hamid Ramli untuk mengecewakan pasukan lawan.
Perlawanan dimulakan diatas padang licin akibat hujan renyai sejak dari petang dan keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan akan corak permainan kedua-dua pasukan.
Kelantan yang sudah melayakkan diri ke perlawanan kalah mati dilihat kerap mengatur serangan ke kubu Pulau Pinang namun gagal menjaringkan gol.
Beberapa gerakan yang dilakukan juga seringkali tersekat manakala jentera serangan yang diketuai Aris Zaidi langsung gagal memberi ancaman bermakna ke kubu Pulau Pinang.
Skuad Pulau Mutiara juga berkesempatan mengatur gerak ke pintu gol Kelantan tetapi gerakan mereka berjaya dipatahkan pertahanan Kelantan.
Pada babak kedua, Kelantan mengubah sedikit corak permainan dan menampakkan keinginan untuk menjaringkan gol.
Selepas berhempas pulas mengatur serangan, Khairan Ezuan Razali tampil dengan sentuhan pemusnah apabila sepakannya hasil keadaan kelam kabut dalam kawasan Pulau Pinang pada minit ke-65 menerjah jaring untuk gol pertama Kelantan.
Selepas gol tersebut, Kelantan dilihat memperlahankan rentak permainan.
Tindakan ini memberi ruang buat Harimau Kumbang mengatur beberapa serangan berbahaya yang mampu memerangkap tuan rumah namun kegopohan selain kekurangan penyudah tajam jentera serangan terus mengecewakan kem Pulau Pinang.
Tambahan masa yang diberikan turut gagal digunakan pasukan Kelantan dan Pulau Pinang mencari kelebihan selesa dan akhirnya wisel penamat dibunyikan untuk Kelantan terus gah menjuarai saingan kumpulan dengan mengutip sembilan mata.
Perlawanan sebelum itu melibatkan perebutan satu lagi tempat ke suku akhir, Johor layak setelah garang membenam ATM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan