KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 5 November 2010

Antara Kejayaan Dan Kegagalan

Meneliti kejayaan pertama The Red Warriors dinobatkan selaku Juara Piala Malaysia 2010, pelbagai reaksi kemeriahan dan kegembiraan dapat disaksikan melalui raut wajah penyokong The Red Warriors seluruh dunia. Dari Johor hingga ke hujung Perlis aura kemenangan menjadi kebanggaan bersama anak-anak yang kelahiran di tanah rendah sekebun bunga warisan keturunan Tok Janggut.





Namun ada beberapa perkara yang dapat dijadikan pengajaran bagi meningkatkan imej rakyat Kelantan selaku negeri yang pernah diiktiraf juara. Mentaliti juara diharap dapat mengubah segala imej buruk yang terpampang dengan jelas semasa perlawanan akhir Piala Malaysia lalu.



Kalah Pun Baling, Menang Pun Baling

Pelik dan hairan melihat reaksi penyokong kita yang suka membaling apa saja bagi menunjukkan reaksi mereka pada sesuatu perlawanan. Boleh dikatakan keseluruhan perlawanan Kelantan pada tahun ini tidak terlepas daripada adegan pelik ini. Perkara ini dilihat pelik apabila pemain Kelantan sendiri iaitu Mohd Badhri ketika perlawanan akhir lalu dibaling dengan pelbagai jenis botol dan barangan selepas beliau cuba berkongsi kemenangan dengan berdiri hampir kawasan peminat, ketika Negeri Sembilan mendahului Kelantan pada separuh masa pertama pun kawasan penyokong Kelantan dihujani botol-botol dan segala jenis barangan yang dibaling ke padang dan ada yang terlepas dikawasan bawah penyokong Kelantan sendiri.

Jadi apa masalah penyokong kita sebenarnya, adakah stadium dianggap Jamratul Aqabah yang sering dijadikan tempat balingan ketika menunaikan haji atau pemain ditengah padang dilihat seolah-olah seperti syaitan yang layak dibaling dengan apa saja atau sebagai tempat belajar membaling sebelum ke Mekah? yang lebih menyedihkan pernah satu ketika perlawanan di Kota Bharu S. Chanturu sendiri dibaling dengan mercun. Tidak kurang juga ada sesetengah penyokong yang suka membaling botol atau ais kepada perempuan yang datang bersama pasangan mereka. Peristiwa stadium Bukit Jalil dihujani botol, mercun dan pelbagai jenis barangan ini dapat dijadikan pengajaran berguna kepada seluruh penyokong Kelantan sebagai penutup segala keburukan yang dipamerkan ini agar tidak berulang lagi pada siri perlawanan bolasepak The Red Warriors 2011. Jadikanlah penyokong kita setaraf dengan penyokong liga eropah kerana inilah impian utama KAFA menjadikan The Red Warriors meniru segala kecemerlangan pasukan liga eropah.



Masa masih Panjang, Bila Kalah Terus Senyap

Sikap penyokong Kelantan yang terus terdiam apabila jaringan gol penalti ShahrulAin Negeri Sembilan melepasi jagaan gawang Khairul Fahmi pada separuh masa pertama amat mengecewakan sesetengah penyokong fanatik yang yakin Kelantan akan menang pada malam itu. Paluan gendang dan sorakan longlai penyokong pada waktu pemain mengharapkan seruan semangat kepada mereka amat dikesali. Paling sedih ada segelintir penyokong pulang awal kerana takut berlaku sebarang insiden yang tidak diingini kononnya akibat daripada kekalahan ini. Betapa nipisnya semangat dan keyakinan pada pasukan mereka. Jika kita saksikan liga eropah penyokong akan terus memberi sokongan sehingga ke 90 minit terakhir walaupun pasukannya sudah sah tewas. Sikap berputus asa dan kecewa ketika permainan masih berbaki 45 minit sedikit sebanyak menunjukkan kepada kita siapa penyokong sejati Kelantan. Ada yang sudah mula melaungkan perkataan sinis pada pemain seperti "jual perlawanan lagi", "berat sungguh main rugi pitis aku mari tengok bola ni", "main mace tahik" dan sebagainya lagi. Namun dalam masa 90 minit membuktikan segala hinaan dan kejian para penyokong sebenarnya tidak benar. Piala Malaysia berjaya dijulang dan didakap oleh seluruh pemain dan pengurusan Kelantan dengan penuh kemeriahan.







Orang Kelantan Takut Ke Stadium

"Ambo ni kalu puok kelate main ambo takut sokmo, takut baloh, gocoh ado belakolah, malu kokrang puok kelate ni" ini antara sikap prejudis rakyat Kelantan sendiri pada penyokong Kelantan sendiri. Pengalaman ini dikongsi oleh Izam yang pertama kali ke stadium pada perlawanan akhir lalu yang cukup teruja dengan kemeriahan bolasepak Kelantan sekaligus menafikan tanggapan negatif beliau pada penyokong Kelantan sendiri. Pemain dan penyokong Kelantan pada tahun ini sudah jauh berubah, kalau dulu pemain Kelantan sering dikenali pemain yang panas baran suka bergaduh diatas padang, kini pemain-pemain seperti ini tiada lagi dalam skuad Kelantan, para pemain kini lebih yakin dan tenang ketika beraksi. Begitu juga dengan penyokong yang sudah melihatkan tanda-tanda positif semasa perlawanan akhir lalu, sudah boleh duduk dan lepak bersama penyokong pasukan lawan sebelum perlawanan bermula. Tiada lagi provokasi melampau daripada kedua-dua penyokong. Pandangan negatif ini sedikit sebanyak sudah mula pudar dari lubuk hati penyokong berhati nipis ini.

Kemenangan hanyalah permulaan bagi The Red Warriors untuk terus merangkul pelbagai lagi kejuaraan yang belum dikecapi selama ini. Momentum kehebatan Kelantan dari pelbagai sudut kejayaan bolasepak sudah diiktiraf oleh seluruh masyarakat Malaysia. Perarakan Piala Malaysia masih lagi menyerikan bumi Kelantan. Sambutan oleh seluruh rakyat Kelantan yang telah dijelajahi Piala Malaysia amat membanggakan. Sama-sama kita doakan agar kejayaan ini sebagai permulaan untuk kita mengecapi kejayaan kita seterusnya. Gomo Kelate Gomo.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular