Ada yang lupa diri
“PEMAIN yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka adalah ‘nobody’ (tidak dikenali). “KAFA ambil mereka waktu mereka digugurkan, waktu mereka tak dibayar gaji, team (pasukan) mereka bubar. Ada yang terpaksa merantau kerana gaji murah.
“KAFA dan penyokong beri mereka gaji dan bonus, beri latihan yang baik, beri pendedahan dalam dan luar negara, beri publisiti dan beri teamwork yang terbaik. Akhirnya mereka lupa siapa yang jadikan mereka bintang.”
Demikian luahan kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) yang dipetik daripada laman sosial Facebook setelah beberapa pemain bintangnya dikhabarkan gagal menghadiri sesi latihan pertama yang bermula kelmarin.
Beliau nyata kecewa dengan sikap sesetengah pemain yang gagal melaporkan diri pada sesi latihan pramusim tersebut walaupun hakikatnya mereka dan pemain lain dikira secara automatik telah mengikat kontrak bersama Kelantan untuk tempoh dua musim melalui surat tawaran bertarikh 1 September lalu kerana tiada seorang pun yang menolaknya.
“Terdapat pemain yang ghairah untuk mendapatkan gaji yang tinggi, membuat rundingan di saat-saat akhir pendaftaran, sedangkan peraturan telah menetapkan mereka berbuat demikian dua bulan sebelumnya.
“Saya tak dapat layan pemain secara individu terutama yang minta gaji tinggi. Saya perlu adil kepada semua. Kalau ada negeri nak tawar gaji tinggi, itu hak mereka dan pemain pilihlah sendiri tapi mesti ikut peraturan.
Pemain wajib tebus kontrak, negeri wajib berunding dan bayar yuran perpindahan. Pelaburan KAFA bukan sedikit,” katanya.
Tambah Annuar, kelab juga seharusnya membuat tawaran kontrak tiga bulan sebelum tempohnya tamat. Tindakan-tindakan ini mungkin akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada kelab asal yang kehilangan pemain pada saat-saat akhir.
Jelasnya, kesan yang buruk juga mungkin akan diterima oleh pemain yang mana status mereka boleh dipertikaikan dan mungkin juga menjadi kes di mahkamah sivil kerana melanggar kontrak.
“Mereka semua (pemain) dinasihatkan merujuk kepada peraturan dengan menghubungi sekretariat di FAM sekiranya terdapat keraguan.
“Pemain dan pasukan yang menyertai Liga Malaysia terutama dalam Liga Super patut berusaha untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme masing-masing sesuai dengan penyertaan dalam liga profesional,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Annuar, akhir-akhir ini didapati banyak pemain dan juga kelab yang langsung tidak memahami peraturan-peraturan asas berhubung dengan etika sebagai pemain ataupun tanggungjawab pengurusan kelab.
Sementara itu, Kosmo! difahamkan, ada desas-desus mengatakan kegagalan pemain terbabit menyertai latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sejak kelmarin ekoran rasa tidak puas hati mengenai beberapa perkara.
Antaranya kerana ada pemain yang kini sedang menimbang tawaran daripada pasukan lain yang lebih lumayan sedangkan mereka telah pun sah milik Kelantan melalui surat tawaran yang diberikan sebelum ini.
Selain itu, KAFA juga enggan melayan permintaan beberapa pemain yang mahu gaji mereka dinaikkan lagi walaupun sebahagian pemain bintang menerima gaji yang cukup lumayan sebelum ini.
Kosmo! yang mengikuti sesi latihan pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV mendapati, semua pemain sudah memulakan latihan kecuali tiga pemain bintang termasuk Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan termasuk S. Chanturu yang mengalami kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan