Dendam Piya berbalas
"DENDAM saya akhirnya berbalas."
Demikian ujar playmaker Kelantan, Badri Radzi (gambar) atau lebih dikenali sebagai Piya apabila dia tampil antara watak penting dalam skuad The Red Warriors yang mengukir sejarah menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 89 tahun pertandingan.
Musim lalu, dia terpaksa berada di bangku penonton dengan dendam yang tersarang menyaksikan bagaimana pasukannya mudah dijinakkan Negeri Sembilan 1-3 kerana terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan yang dialaminya.
Menurut Piya, dia agak gugup apabila berpeluang beraksi pada final Piala Malaysia buat kali pertama yang turut menjejaskan gaya permainannya pada separuh masa pertama.
"Pada babak pertama saya akui kami tidak beraksi dengan baik, segala-galanya serba tidak menjadi dan yang jelas kami sedikit gugup ditambah pula dengan gol awal yang diperoleh Negeri Sembilan.
"Ketika waktu rehat, jurulatih kata kami tak pernah kalah bila beraksi di luar, ini adalah peluang kami untuk membawa pulang piala untuk peminat dan Tan Sri (Annuar Musa), jadi kena main all out (habis-habisan)," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Piya, selepas mendapat kata-kata semangat itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya tampil agresif untuk mempamerkan aksi berbeza pada babak kedua dengan menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Jelasnya, ketiadaan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sebelum itu dilihat sukar untuk ditembusi, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Kelantan.
"Memang betul, ketiadaan Aidil memudahkan lagi kerja kami. Sebelum itu kami susah untuk membawa bola masuk ke dalam kawasan kotak penalti.
"Selepas dia dikeluarkan, barulah kami mampu bergerak dengan baik di bahagian hadapan.
"Selepas menerima bola hantaran Norfarhan Mohamad, saya tahu ini adalah peluang terbaik dan saya kena sempurnakannya.
"Saya terus lari membawa bola ke depan dan pada masa itu saya yakin untuk melakukan jaringan. Tanpa teragak-agak, saya melakukan rembatan yang terus menerjah ke gawang lawan. Saya puas kerana dendam sekian lama akhirnya terlerai," ujar Piya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan