• Mohamed ShawkyMohamed Shawky (dua, kiri) berebut bola dengan pemain pertahanan Perlis, Mohd Khairil Zainuddin dalam aksi persahabatan kedua-dua pasukan di Kota Bharu, kelmarin. - FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH
 1 / 1 
MOHAMED Shawky boleh jadi pemain import terbaik musim ini.  Itu komen Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW), Steve Darby selepas menilai prestasi bekas pemain kebangsaan Mesir itu dalam aksi persahabatan menentang Perlis, di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Malah,  jurulatih kelahiran England itu langsung tidak mempedulikan kemenangan yang diraih pasukannya, menewaskan skuad kendalian Reduan Abdullah 3-1, sebaliknya lebih berminat menghambur pujian ke atas Mohammed Shawky yang beraksi sepenuh masa dalam perlawanan itu.

Menurutnya, kelebihan yang dimiliki Mohamed Shawky ialah dia seorang pemain tipikal namun gemar membuat hantaran dekat dan berlari tanpa henti ke segenap penjuru padang bagi memastikan pasukannya tidak hilang penguasaan bola.

“Mohamed Shawky, Amar Rohidan dan Mohd Badhri Radzi melakukan kerja masing-masing dengan cemerlang malam ini. Mereka membuatkan enjin tengah pasukan ini berfungsi dengan baik dan tampak cukup sempurna. 

“Anda kena sedar, Mohamed Shawky ialah seorang pemain bola sepak berkualiti. Saya tidak ada keraguan mengenainya dan tidak mustahil dia mampu menjadi pemain import terbaik musim ini,” katanya.

Tambahnya, pemain berusia 32 tahun itu  sentiasa mempunyai kawalan bola menarik menyebabkan dia sering  menjadi mangsa kekasaran pemain Perlis.

Pada aksi persahabatan itu, Mohammed Ghaddar, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Ahmad Fakri Saarani meledakkan jaringan buat Kelantan, sementara gol sagu hati Perlis disumbangkan penyerang import Ivory Coast, Dao Bakary.

Biar pun Kelantan mencatatkan kemenangan pada perlawanan tersebut, namun jurulatih berusia 58 tahun itu mengakui ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki terhadap corak permainan pasukannya sebelum tirai Liga Malaysia dibuka pada 17 Januari ini.

“Ada kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan pemain. Mereka gagal membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

"Saya tiada alasan mengenai kelemahan ini, sepatutnya mereka boleh melakukan lebih baik (hantaran tepat) dalam perlawanan ini,” katanya.