KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 29 Januari 2014

Red Warriors Digigit Red Ants Di Laman Sendiri


Pemain PKNS, P. Gunalan cuba membuat sepakan akrobatik untuk menyelamatkan kubu pasukannya daripada asakan Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu malam tadi. PKNS menang 2-1.
KOTA BHARU – The Red Warriors dimalukan di hadapan kira-kira 25,000 penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, semalam.
Beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia, babak pertama perlawanan jelas dikuasai Kelantan yang garang melancarkan banyak gerakan berbahaya namun dipatahkan dengan mudah benteng pertahanan pelawat.
Serangan demi serangan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila Kapten Pasukan, Badhri Radzi melakukan hantaran pendek sebelum ditanduk masuk Ahmad Fakri Saraani.
Seminit kemudian, tonggak import Kelantan, Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya sekadar melintasi gawang gol PKNS biarpun penjaga gol Mohd. Ramezey Che Ros sudahpun tertewas ketika itu.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-39.
Kerapuhan benteng pertahanan The Red Warriors semakin ketara apabila pasukan pelawat berjaya menambah jaringan dua minit kemudian menerusi lorongan mudah Mohd. Aminuddin Mohd. Noor yang hanya perlu berdepan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi pada minit ke-46.
Kelantan pula kembali menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pula terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudah pun ternganga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular