KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 15 Januari 2014

RM8j Bakar Semangat

PEMAIN Kelantan menggayakan jersi baru.
Kota Bharu: Selepas berjaya membentuk pasukan yang 90 peratus baru, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini semakin selesa apabila menerima tajaan lebih RM8 juta bagi menampung perbelanjaan pasukan itu sehingga tamat musim Liga M 2014.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tajaan itu turut dipengaruhi peningkatan kos perbelanjaan pasukan yang meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, sebanyak sembilan syarikat menaja gergasi Pantai Timur itu dan jumlah tajaaan itu bergantung kepada keperluan perbelanjaan pasukan untuk sepanjang musim 2014.
“Bagi tajaan musim ini saya anggarkan jumlah tajaan melalui bajet perbelanjaan yang dilakukan dan saya percaya kita memerlukan kewangan tidak kurang daripada RM8 juta untuk menguruskan pasukan termasuk gaji dan insentif pemain.
“Perbelanjaan musim ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu kerana kita memiliki lebih ramai pemain import selain beberapa persediaan lain untuk membentuk semula pasukan selepas ramai pemain lama berhijrah,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baru The Red Warriors (TRW) 2014 semalam.
Antara penaja utama TRW musim ini adalah Maxis Berhad menerusi Hotlink dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI) selain beberapa penaja lain seperti Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) yang dikekalkan dan UniKL sebagai penaja baru.
Dalam perkembangan lain, Annuar memberi amaran peniaga yang menjual jersi tiruan akan dikenakan tindakan daripada pihak berkuasa.
Katanya, ada kebocoran reka bentuk jersi sebelum ia dilancarkan namun menasihatkan penyokong supaya membeli jersi yang asli.
“KAFA tidak akan bertanggungjawab keatas peniaga yang ditahan kerana menjual jersi tiruan dan kepada yang mahu menjadi ejen jualan jersi, mereka boleh berhubung dengan pengurusan KAFA.
“Walaupun reka bentuk jersi kita sudah bocor namun ia tidak sama dengan yang asli kerana jersi yang asli ditenun khas dan menggunakan bahan lebih berkualiti berbanding jersi musim lalu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular