KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 18 Disember 2012

Piala Gabenor Aceh 2012 : TRW Tersingkir.


kelantan-semen-padang-miko
Semen Padang melengkapkan hari gemilang mereka apabila menundukkan Kelantan 4-2 untuk mara penuh bergaya ke peringkat empat terbaik Piala Gabenor Aceh 2012.

Perlawanan yang berlangsung di stadium Harapan Bangsa, Banda Aceh menyaksikan Kelantan yang turun dalam misi untuk mencari gol awal melakukan pelbagai serangan bahaya ke arah kubu tuan rumah namun gagal menggegarkan jaring lawan.

Bagaimanapun, Semen Padang terlebih dahulu mencetak gol apabila tendangan kaki kiri Edward Wilson Junior hasil umpanan Estivan Viscara pada minit ke-24 berjaya menewaskan Shahrizan Ismail.

Kelantan tidak menunggu lama untuk mencetak gol setelah Mohd Badri Radzi menyamakan kedudukan hasil serangan balas pantas seminit kemudian.

Terdesak dengan serangan demi serangan Semen Padang, Obinna Nwaneri menghadiahkan sepakan penalti setelah menjatuhkan Titus Bonai untuk memberikan Edward Wilson Junior jaringan kedua peribadi pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus tertekan setelah Edward Wilson Junior menjarakkan kedudukan kepada 3-1 selepas menerima hantaran cantik dari Ellie Aiboy pada minit ke-64.

Berselang dua minit selepas itu, M. Rizal terus menghukum kelalaian pertahanan Kelantan dengan jaringan keempat menerusi satu lambungan ke arah pintu gol menewaskan Shahrizan buat kali keempat.
Sang Kijang cuba bangkit dengan jaringan kedua melalui pemain import dari Australia, Dimi Petratos pada minit ke-68.

Pada lewat permainan, Kelantan mendapat satu sepakan penalti namun gagal disempurnakan untuk keputusan 4-2 kekal sehingga wisel penamat.

Dengan keputusan yang diraih, The Red Warriors berkongsi kedudukan dengan Brunei DPMM tetapi gagal melangkah ke separuh akhir selepas undian yang dibuat pihak penganjur memihak kepada kelab tersebut.


Kesebelasan Pemain
Semen Padang : Farrurozi (Pg), Novan , Syaifulloh , Wahyu , Riky, Eli A, Yu, Mofu, Viscara, Edward dan Titus Bonai.
Kelantan : Shahrizan Ismail (Pg), Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Zairul Fitree, Zamri Ramli, Badri Radzi (Kp), Zairol Annuar Zailani, K. Nanthakumar, Dimi Petratos, Khairul Izuan Rosli dan Harris Safwan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular