KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 24 Januari 2010

Kelantan Pungut Tiga Mata.

RedsFC
Redskelate@yahoo.com.my

Kemenangan bergaya yang diimpikan para peminat dalam TM Liga Super 2010 berjaya direalisasikan anak buah B. Sathianathana apabila membelasah Johor FC 4-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Setelah dikritik hebat beberapa hari lalu, Kelantan memulakan kehangatan saingan dengan melakukan beberapa percubaan awal untuk menguji kekebalan benteng Johor FC.

Peluang pertama untuk membolosi pintu gol lawan hadir seawal minit ke-4 apabila Nor Sharul yang mendapat hantaran lintang Indra Putra gagal menyentuh bola yang lalu dihadapannya.

Hairudin Omar pula hanya mampu menggelengkan kepala apabila bola percubaannya pada minit ke-9 bergolek keluar dari sebelah kiri pintu gol walaupun penjaga gol lawan, G. Jeevanatham sudah tertewas.

Kekentalan Johor FC menahan asakan akhirnya roboh pada minit ke-18 apabila Nor Sharul Idlan bijak menyudahkan bola tandukan awal Hairudin Omar hasil dari lontaran kedalam Azizi Mat Rose untuk gol pertama Kelantan menggegarkan stadium yang dipenuhi oleh 21 000 penyokong tuan rumah.

Gol Kelantan tidak bertahan lama setelah Mohd Irme Mat memanfaatkan kealpaan Zairul Fitree Ishak yang tidak mengawal kawasannya untuk mendada hantaran Eddy Helmi kepada Mohd Riduwan Moin yang tenang menyepak menewaskan Mohd Halim Napi pada minit ke-21.

Tersentak jaringan penyamaan Johor Fc, Kelantan mengatur kembali gerak untuk menambah jaringan namun hampa setelah pertahanan lawan pantas mengeluarkan bola yang datang ke kawasan mereka.

Menyedari tekanan dari pihak penyokong yang inginkan sesuatu, Norfarhan dengan bantuan Indra dan Shakir Shaari melakukan beberapa serangan melalui tepi tetapi turut kecewa angkara penyudah tumpul penyerang Kelantan.

Sedang Kelantan rancak menyerang, Johor Fc hampir - hampir menambah gol apabila Irme Mat yang mendapat hantaran pendek Wan Rohaimi berjaya melepaskan sepakan padu namun menggegarkan palang dan percubaan susulan dari Riduwan Moin pula melambung tinggi melepasi palang gol pada minit ke-38.

Selepas percubaan itu bola kelihatan lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang dengan kedua-dua pasukan gagal membuat gerak berbahaya mengancam kubu masing-masing.

Bersambung babak kedua, Kelantan melakukan sedikit perubahan taktikal untuk bergerak lebih pantas mencari gol pendahuluan.

Hasilnya, Kelantan dihadiahkan satu sepakan percuma di luar kotak penalti setelah Hairudin Omar dikasari Mohd Izuan Jarudin. Badri Radzi yang mengambil sepakan tersebut melintangkan bola kepada Azizi yang keseorangan terus menanduk untuk menewaskan Jeevanatham buat kali kedua di gawang Johor Fc pada minit ke-46.

Tidak lama kemudian, Azizi sekali lagi berjaya menjaringkan gol untuk Kelantan pada minit ke-49 hasil keadaan kelam kabut di kawasan Johor Fc . Gol berpunca dari sepakan percuma Badri yang terus kepada Norfarhan tetapi pemain ini menyepak tinggi kepada Jeevantham namun bola terlepas dari genggamannya dan Azizi yang keseorangan terus melepaskan sepakan kencang untuk gol ketiga Kelantan.

Seakan tidak berpuas hati dengan tiga gol, Sathianathan mengeluarkan Mohd Shakir Shaari dan Idlan Talaha untuk mengantikan mereka dengan S. Chanturu dan Khairan Eroza Razali.

Kemasukan mereka berdua menyuntik semangat menyerang dari bahagian sayap dan hasilnya, Chanturu yang berjaya melarikan bola dari sebelah kanan melakukan hantaran rendah kepada Norfarhan yang menunggu didalam kotak penalti sebelum menendang kencang untuk gol keempat pada minit ke-71.

Selepas gol tersebut, Norfarhan terus dikeluarkan untuk digantikan dengan pemain muda, Mohd Zamri Ramli.

Mungkin menyedari mendahului dengan kelebihan tiga gol, Kelantan memperlahankan rentak permainan dan peluang ini memberi ruang luas buat Johor Fc mengatur gerak namun kebanyakan gerakan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Kelantan yang kebal diterajui pemain terbaik perlawanan, Azizi Mat Rose.

Tambahan masa dua minit tidak memberi sebarang erti kepada Kelantan dan Johor Fc sebelum pengadil perlawanan, Annuar Che Husin membunyikan wisel penamat untuk memberikan tiga mata penuh buat Red Warriors di halaman sendiri.

Kesebelasan Utama:

Ketua Jurulatih: B. Sathianathan
Kelantan: Mohd Halim Napi, Zairul Fitree Ishak, Azizi Mat Rose, S. Subramaniam, Daudsu Jamaludin, Indra Putra Mahayuddin (C), Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza), Norfarhan (Zamri Ramli), Hairudin Omar dan Norshahrul Idlan (S. Chanturu)

Ketua Jurulatih: Ramlan Rashid
JohorFc: G. Jeevanatham, Mat Saiful Mohamad, Mohd Izuan Jarudin, Wan Rohaimi (Sivakumar), Eddy Helmi (C), Mohd Khairul Ismail, Nurul Izuan Roya, Rizal Roslan, Riduwan Moin, Irme Mat ( Safuan Ibrahim) dan Sumardi Hajalan.


Pengadil: Annuar Che Husin
Pen Pengadil 1: Wan Salman Wan Yusof
Pen Pengadil 2: Wan Ismail Wan Ali
Pegawai ke-4: Mat Suburi Isa

Gol
Kelantan 4-1 Johor Fc

Kad Kuning
Kelantan 1-1 Johor Fc

Kad Merah
Kelantan 0-0 Johor Fc

Percubaan
Kelantan 9-6 Johor Fc

Posisi Bola (%)
Kelantan 55-45 Johor Fc

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular