PENYERANG muda Australia, Dimitrios
Petratos yang beraksi bersama The Red Warriors dalam saingan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 secara rasminya akan berangkat ke
England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan dengan pasukan
Blackburn Rovers.
Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu semalam.
Annuar berkata, ketua pasukan Piala
Presiden Kelantan, Faizul Nazlin Sayuti akan pergi bersama Petratos bagi
menjalani latihan tersebut dan akan kembali semula ke pangkuan pasukan
pada bulan Mac untuk menghadapi saingan Piala AFC.
Menurutnya, latihan tersebut merupakan
sebahagian daripada kerjasama antara KAFA dengan kelab berkenaan sebagai
langkah untuk memantapkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan liga
musim ini.
“Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TheRedWarriors.com iaitu Kelvin Ramalingam.
Sepanjang berada di sana, Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn Rovers.
“KAFA berharap, latihan tersebut akan
meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama
pasukan untuk saingan Piala AFC nanti.
“Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita
mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk
memantapkan corak permainan dan kemahirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
pada sidang akhbar perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad
IV semalam mengenai pertembungan antara juara Liga Super Malaysia,
Kelantan dengan juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.
Pada majlis tersebut, Annuar turut
memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu
The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu, Salim Aracche.
Selain Aracche, Kelantan turut
diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, iaitu
Dickson Nwakaeme yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira di
posisi pertahanan.
Annuar memberitahu, jika ada
perkembangan semasa mengenai kedua-dua pemain itu, ia akan memaklumkan
perkara tersebut dari semasa ke semasa.
“KAFA akan menjalinkan kerjasama ini di masa akan datang melibatkan pertukaran pemain dan jurulatih,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan Piala
Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan
sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor
Acheh baru-baru ini.
“Perlawanan ini merupakan medan terbaik
buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia
bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan.
“Mereka sebuah pasukan yang hebat, dan
kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh
baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam
perlawanan itu,” tegasnya.
kemah dan molek hantar player kiter hok mudo2 cari pengalamn tepat ore gomo kelate gomo:)
BalasPadam