KOTA BHARU – Isu Mohd. Badri Radzi tidak
disenaraikan dalam skuad kebangsaan pimpinan Datuk K. Rajagobal akan
berterusan selagi jurulatih itu terus bersikap mengelak daripada
menceritakan keadaan sebenar.
“Hanya Rajagobal yang boleh meredakan
isu hangat antara dia dan Badri (Piya),” kata legenda bola sepak
Kelantan, Dali Omar yang ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menyifatkan tindakan itu amat ‘tidak
kena’, Dali berkata, sebagai seorang jurulatih, Rajagobal sepatutnya
memberitahu kesilapan dan kekurangan Piya, agar pemain itu dapat
memperbaikinya dan tidak kempunan menyarung jersi kebangsaan.
Bagi Dali, Piya pada anggapannya pemain
tengah terbaik di Malaysia buat masa ini, jauh lebih baik daripada
pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim yang menjadi pilihan utama
Rajagobal tetapi digantung perlawanan.
Jelasnya, Piya mempunyai kelebihan
daripada semua segi seperti kelebihan membuat sepakan sudut, pergerakan
tangkas, kawalan serta hantaran bola.
“Saya hairan, apa masalah Rajagobal
sebenarnya? Adakah kerana dia ada isu peribadi dengan sesiapa sehingga
dia enggan ambil Piya? Tidakkah dia sedar bahawa Piya pemain tengah
terbaik negara sekarang? Kalau dibandingkan antara Piya dan Safiq bagai
langit dengan bumi, Piya lengkap segala segi tapi Safiq hanya pakar
sepakan sudut sahaja.
“Anda kena jujur memberitahu kepada
pemain corak permainan bagaimana yang anda mahu serta kelemahan mereka,”
ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas tindakan
Rajagopal yang terus menyisihkan Mohd. Badri daripada skuad kebangsaan
yang akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar
pada 6 Februari ini.
Dali merupakan bekas pemain kebangsaan
pada awal 1970-an dan selain Kelantan, dia pernah mewakili beberapa
kelab di Australia selepas mengambil keputusan berhijrah sebelum
mengakhiri karier sebagai jurulatih di negara berkenaan.
Menurut Dali, tindakan Rajagobal
mengambil pemain muda bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera akan
membawa padah kepada pasukan negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia.
Beliau berkata, untuk bermain di
peringkat yang tinggi, Rajagobal sepatutnya menghantar pemain berusia 27
tahun ke atas kerana pada usia itulah pemain negara berada pada tahap
paling matang sama ada dari sudut fizikal dan kawalan emosi.
Jelasnya, Rajagobal sepatutnya faham
tahap pemain Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan pemain Liga
Perdana Inggeris yang matang lebih awal pada usia 22 dan 23 tahun.
“Kita tidak akan mencapai apa-apa dalam
Piala Asia nanti dan apa-apa kejohanan sekalipun jika beginilah cara
Rajagobal memilih pemain kebangsaan, seolah-olah macam memilih dan
mencampak bahan masakan dalam periuk sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Kelab Penyokong Siber
Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menempelak sikap pengendali Harimau
Malaya itu yang mengaitkan dua bekas pengendali The Red Warriors, Datuk
M. Karathu dan B. Sathianathan sebagai punca kegagalannya menyenaraikan
Piya.
Timbalan Presiden kelate.net Mahizi
Mahmood menegaskan, tindakan tersebut mencermin sikap sebenar pengendali
Harimau Malaya yang dilihat seolah-olah memperlekehkan kemampuan pemain
paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan.
“Menjadikan Karathu dan Sathianathan
sebagai punca kenapa beliau tidak memilih Piya untuk beraksi dalam skuad
kebangsaan adalah sesuatu yang tidak profesional dan boleh memberikan
gambaran kurang baik kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
“Selaku peminat bola sepak, kami tidak
boleh menerima alasan tersebut, dan dalam hal ini beliau perlu berterus
terang bagi membolehkan semua orang tahu kenapa Piya tiada dalam skuad
negara.
“Tindakan ini menunjukkan seolah-olah
beliau mahu ‘cuci tangan’ dalam isu ini. Hanya beliau yang mempunyai
kuasa untuk memilih pemain bagi menyarung jersi kebangsaan atas kapasiti
selaku ketua jurulatih,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan