|
|
BIARPUN gagal memberikan impak dalam tiga perlawanan sebelum ini, magis pemain dari Guinea, Keita Mandjou terus ditagih oleh Kelantan untuk memusnahkan impian Johor Darul Takzim (Johor DT) pada pertemuan Liga Super di Kota Bharu malam ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, pemain tersebut tetap berada dalam senarai kesebelasan utamanya dan akan mengetuai jentera serangan The Red Warriors walaupun prestasinya kini agak diragui.
Menurutnya, beliau perlu menggunakan khidmat Mandjou sehingga April depan walau apa cara sekalipun sebelum membuat keputusan sama ada khidmat pemain tersebut akan digantikan atau sebaliknya sebaik jendela perpindahan tersebut dibuka nanti.
"Saya tetap beri sokongan kepadanya dan saya harap dia akan menggunakan peluang dan menjaringkan gol malam esok (malam ini).
"Saya tidak boleh buat percaturan seperti jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang merehatkan dua pemain import mereka. Kita tak ada pemain tempatan seperti Pahang, kita ada masalah pemain tempatan. Jadi, kita terus menagih sentuhan Mandjou," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, pertembungan malam ini cukup penting terutama untuk membuktikan bahawa Kelantan adalah jaguh sebenar bola sepak Malaysia biarpun menyedari Johor DT diperkuatkan dengan ramai pemain kebangsaan dan berada pada kedudukan lebih baik dalam Liga Super.
"Ini adalah Kota Bharu. Kita merupakan pasukan pilihan apabila beraksi di sini dan kita bersedia untuk menewaskan mana-mana pasukan yang datang ke sini. Dengan sokongan padu peminat, saya rasa kerja kita akan lebih mudah.
"Saya tidak melihat aksi pertama Simone Del Nero (pemain import Johor DT) kerana dia tak bermain semasa mereka tewas 2-3 kepada Pahang tempoh hari tetapi saya tahu dia pemain penting untuk Johor DT.
"Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan David Guiza pemain yang berbahaya jika diberi ruang bergerak bebas.
"
Kita akan cuba memberi tekanan kepada dua pemain ini. Kalau itu kita mampu lakukan, mereka pasti bermasalah untuk menembusi pintu gol kita," ujarnya.
Mengulas mengenai rombakan kesebelasan utamanya, Hodak berkata, beliau akan menyenaraikan semula Daudsu Jamaluddin yang direhatkan ketika aksi menentang T-Team, Sabtu lalu.
"Saya akan menyenaraikan semula Daudsu dan sekarang saya sedang fikirkan siapa yang akan digandingkan bersama Obinna Nwaneri di posisi pertahanan tengah. Siapa pemain yang akan diturunkan, akan saya nilai
selepas latihan petang ini (petang semalam)," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu pertelagahannya dengan jurulatih T-Team, Peter James Butler yang mendakwa beliau mengeluarkan kata-kata menghina mendiang ibu jurulatih dari Halifax, England itu, Hodak dilihat tidak begitu berminat untuk menjawabnya.
"Dia sepatutnya menghubungi saya dan bukan bercakap kepada media. Saya tidak mahu komen apa-apa. Dia boleh hubungi saya terus, mengapa pergi bercakap kepada media.
"Bagus juga jika dia mahu bawa benda ini ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), biar dia teruskan," katanya ringkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan