Rajagobal Perlekeh Badri
“KENAPA tanya saya, beliau jurulatih,
seharusnya beliau tahu pemain macam mana yang beliau mahu. Saya tak
faham kenapa dia suruh tanya saya. Jawapan macam mana yang anda jangka
boleh saya berikan?”
Itu komen ketua pasukan Kelantan, yang
berjaya menjulang tiga piala musim lalu, Badri Radzi selepas namanya
terus tersisih daripada kem skuad kebangsaan biarpun ketua jurulatih
Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini dalam situasi terdesak selepas
kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.
Menurutnya, selepas berjaya membawa
Kelantan ke tahap yang begitu tinggi termasuk memenangi tiga kejuaraan
musim lalu, kelibatnya di padang masih tetap gagal memikat hati
Rajagobal yang terus meragui keupayaannya.
“Saya tidak tahu apa masalahnya, komen
beliau (Rajagobal) dalam akhbar hari ini (semalam) seolah-olah memberi
gambaran bahawa corak permainan saya tidak sesuai dengan corak latihan
beliau.
“Beliau tidak perlu mengajukan soalan
berkenaan kepada saya atau bekas jurulatih saya, Datuk M. Karathu atau
B. Sathianathan. Kami semua tidak ada jawapan kerana jawapan itu ada
pada beliau sendiri,” kata Badri ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, jika Rajagobal menganggap dia
bukan seorang pemain yang bagus dan tidak menepati kriteria yang
diperlukan, dia sedia menerima kritikan berkenaan kerana jurulatih skuad
kebangsaan itu lebih berpengalaman.
Katanya, impiannya untuk bermain dan
menabur bakti dalam skuad kebangsaan tidak pernah padam dan akan
berusaha untuk terus memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.
“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu
beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah kemuncak dalam karier anda.
Semua pemain mengidamkan untuk menyarung jersi kebangsaan, begitu juga
saya. Kalau tidak baik tak payah main bola.
“Kali terakhir saya dipanggil pada tahun
2010, ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas Kelantan
muncul juara Piala Malaysia. Pembantunya (Tan Cheng Hoe) telefon saya
minta nombor pasport.
“Dia beri tempoh dua jam untuk saya
dapatkan nombor pasport, saya beritahu pasport ada di rumah, macam mana
saya hendak beri. Sukar untuk saya dapatkan nombor pasport ketika itu
kerana kami terpaksa singgah di Gua Musang dulu untuk menemui peminat.
Selepas itu senyap begitu saja,” ujarnya.
Jelas Badri, sebelum ini ada yang
berpendapat pemain sepertinya, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin
hanya mampu bermain dalam tempoh 30 minit sahaja ekoran faktor usia,
dan keputusan Rajagobal memilih pemain muda mungkin satu pilihan yang
tepat.
Kali pertama dan terakhir ‘jeneral
padang’ berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan adalah
ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee
berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan