KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 11 Januari 2013

Tak wajar tuduh orang Kelantan pelik





Baru-baru ini seorang wanita menulis di laman Twitternya meminta dijauhkan daripada mendapat suami orang pantai timur, terutama dari Kelantan kerana dikatakan berperangai pelik.
Untuk lebih jelas, ini yang ditulis wanita itu: “Mintak2 dijauhkan la drpd calon suami orang pantai timur ni esp kelantan...tak suka la orang Kelantan ni... pelik2.” Lalu, Twitter berkenaan tersebar di laman sosial Facebook, malah boleh dilihat sehingga kini.
Kata seorang rakan, bijak sungguh wanita itu dan akibat kebijaksanaannya berbakul kata makian diterimanya. Katanya lagi dalam loghat Kelantan, “Mu ingak mu comel sangak...huduh...huduh..huduh” sambil menggayakan babak Jani memarahi Shima dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing.
Apakah yang cuba dilakukan wanita itu dengan berbuat sesuatu yang terangan-terangan mampu menimbulkan kemarahan orang lain? Adakah mahu menambah lagi garam di luka? Semai kebencian Penulis katakan demikian kerana sebelum ini, banyak tampalan sama ada di Facebook atau laman web tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyemai kebencian kepada orang Kelantan.

Tidak perlulah dinyatakan di sini apa yang tidak disukai pihak berkenaan sehingga ‘ringan tulang’ menulis yang bukan-bukan mengenai orang Kelantan.

Hakikat yang perlu diakui, mana-mana negeri ada penduduknya yang berperangai tidak senonoh, ini tak kena dan itu tak kena dan bukannya hanya orang Kelantan. Bagaimanapun, tidak perlulah meluahkannya di alam siber yang boleh mengundang kemarahan.

Zaman sudah berubah dan orang Kelantan tidak seperti dulu. Mengambil contoh bola sepak, orang Kelantan akan menjadi mangsa tuduhan dengan ungkapan “kalau kalah, mesti nak gaduh...kalau kalah, mesti pecah memecah”. Tidak adil untuk terus mengungkit peristiwa rusuhan di Stadium Sultan Muhammad IV pada April 2009 kerana perbuatan itu dilakukan hanya segelintir penyokong dan bukannya semua orang Kelantan.
Kembali meriah bola sepak Penyokong bola sepak Kelantan kini semakin matang dan bertanggungjawab, malah mereka boleh diibaratkan tulang belakang yang menghidupkan kembali suasana meriah bola sepak di negara ini.

Tidak perlu takut untuk duduk bersama mereka jika menonton bola, walaupun anda penyokong dan memakai jersi negeri anda. Minat terhadap bola sepak pada diri penulis juga kembali membara ketika ditukarkan ke negeri ini pada Mac 2011. Atmosfera bola sepak di negeri ini memang memberi impak, itu belum lagi jika The Red Warriors melangkah ke final Piala Malaysia atau Piala FA.
Jika ada yang mengatakan orang Kelantan masih kuat semangat kenegerian, mengapa pula hendak dipersoalkan? Orang Jawa seperti penulis juga ada semangat Jawa, jika bertemu orang Jawa, seboleh-bolehnya mahu bercakap Jawa.

Penulis bukan orang Kelantan dan bukannya mahu mengangkat orang Kelantan. Apa yang penulis hendak sampaikan, tidak kiralah orang Kelantan, orang Jawa, orang Bugis, orang Banjar, orang KL, orang utara, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

Perbuatan mencetuskan sentimen kebencian terhadap penduduk negeri lain, apatah lagi di alam siber perlu dihentikan supaya tidak menjadi ikutan. Jangan jadi seperti watak Dollah Jin, juga dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing yang menjadi ‘kepalo pengat’ (individu paling samseng dalam kumpulan) dan gemar ‘bergocoh’ (bergaduh) dengan membayangkan dirinya Tony Jaa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular