KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 9 Februari 2013

Nwakaeme, Salim memukau



Nwakaeme, Salim memukau
Diturunkan hanya 30 minit, namun impak Nwakaeme dibahagian depan jelas ketara.
Nwakaeme, Salim memukau
Kehadiran Salim bersama TRW memberi petanda positif.
ADAKAH Dickson Nwakaeme bakal menyarung jersi Kelantan ? Masih terlalu awal untuk diperkatakan namun kehebatan pemain import dari Nigeria itu jelas cukup dikagumi
penyokong The Red Warriors (TRW).

Yang nyata persembahan dua pemain import baharu yang sedang diuji, Nwakaeme dan Salim Arrache dari Perancis tidak mengecewakan ketika juara tiga piala musim lalu, Kelantan terikat seri 1-1 dengan juara Liga Premier Indonesia (IPL) dalam aksi persahabatan antarabangsa di Kota Bharu minggu lalu.

Meski pun hanya beraksi selama 30 minit dalam perlawanan tersebut, namun aksi bertenaga Nwakaeme selain kelincahan beliau memperdayakan dua pemain pertahanan lawan sebanyak dua kali membuktikan pemain berusia 27 tahun ini mampu menjadi penggempur berbisa TRW.

Dalam pada itu, penampilan Salim selama 45 minit selaku pemain sayap kiri juga turut cemerlang apabila beliau mempunyai kebolehan melakukan hantaran tepat kepada rakan selain mampu mencipta gerakan berbahaya menerusi posisi tersebut.

TERPILIH

Jika diberi pilihan antara Kieta Mandjou atau Nwakaeme, rata-rata peminat mahukan penyerang yang pernah beraksi dengan Song Lam Nghe An FC itu didaftarkan selaku pemain import baharu dalam saingan Liga Super ketika jendela pendaftaran kedua pemain dibuka bermula 8 hingga 22 April nanti.

Itu persoalan menarik di kem Kelantan. Namun pengendali pasukan, Bojan Hodak masih mempunyai masa dua bulan sebelum memuktamadkan keputusan. Malah, nama Dimitrios Pertratos yang kini ‘berguru’ bersama Blackburn Rovers tidak boleh diketepikan untuk tersenarai beraksi dalam liga domestik.

Begitu pun, jika dibuat perbandingan, posisi penyerang yang disifatkan bermasalah buat Kelantan pada musim ini hanya menjadi rebutan antara Mandjou dan Nwakaeme memandangkan Pertratos sebenarnya beraksi di bahagian sayap.

MUNGKIN

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Mohd Ali berkata, pemilihan Nwakaeme mungkin menjadi jawapan kepada kemelut jentera serangan Kelantan yang tumpul dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Nada sama disuarakan Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood yang menyifatkan Nwakaeme dilihat calon pilihan menggantikan Mandjou memandangkan pemain tersebut mempunyai pakej lengkap selaku penggempur baharu Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular