KOTA BHARU – The Red Warriors tidak akan
menyerahkan mahkota Liga Super dengan mudah kepada pasukan lain apatah
lagi mahu menyerah kalah terlalu awal biarpun menerima hakikat
persembahan mereka hambar pada permulaan musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, persediaan awal musim yang tidak
lengkap menjadi punca kemerosotan pasukannya.
Namun, beliau percaya pemain yang ada sekarang adalah pejuang yang mampu menaikkan kembali pasukan itu ke puncak liga.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap
pemain supaya menunjukkan semangat melawan dan berpasukan yang tinggi
dalam pertemuan menentang Selangor, Jumaat ini.
“Kita kena akui masih belum dapat atasi
masalah teknikal, soal taktikal tidak apa sebab ia adalah percaturan
jurulatih jadi bila bertemu Selangor memang ada masalah teknikal.
“Jadi untuk atasi kelemahan ini, pemain
kita kena sedar kita ada kekurangan yang harus ditampung iaitu semangat
melawan dan semangat sepasukan kita mesti melebihi segalanya,” katanya
di sini, semalam.
Kelantan selaku juara treble
musim lalu kini berada di tangga ke tujuh carta liga selepas hanya mampu
menang sekali dalam lima perlawanan pertama menyebabkan tercicir enam
mata daripada pendahulu, Pahang.
Kehilangan dua tonggak musim lalu,
Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar ternyata memberi penangan
kepada jentera serangan pasukan yang hanya mampu menjaringkan tiga gol
setakat ini.
Kehadiran pemain import berpengalaman,
Keita Manjou ke dalam pasukan sehingga kini masih belum membuahkan hasil
dan pemain itu sendiri bergelut dengan masalah kecederaan.
Sementara itu, Annuar menagih khidmat
semua pemain senior dalam pasukannya supaya menunjukkan contoh yang
lebih baik dalam perlawanan dan meningkatkan lagi prestasi
masing-masing.
‘Masalah pasukan kami ada banyak pemain
senior jadi bila dia rasa OK dia masih relaks. Main secara relaks ini
yang jadi masalah tidak boleh menjaringkan gol.
“Kita tengok bila lawan Johor Darul
Takzim kita main tahap tinggi, bila lawan Felda United tahap lain jadi
kenapa berubah-ubah. Kita perlu sentiasa bekerja keras sepanjang masa,”
tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan