KOTA BHARU – Kelantan mahu menggunakan
aksi persahabatan antarabangsa bertemu Semen Padang di Stadium Sultan
Muhammad IV malam ini sebagai kayu pengukur sebelum saingan Liga Super
kembali bersambung pada 16 Februari nanti.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata,
meskipun turun tanpa beberapa tonggak utama yang mengalas tugas bersama
skuad negara, ia tetap tidak akan mengambil mudah pertemuan itu.
Menurutnya, perlawanan ini amat penting
buatnya dalam usaha memperkasakan pasukan selepas mempamerkan aksi
kurang bertenaga dalam lima saingan Liga Super sebelum ini.
“Perlawanan ini merupakan pentas terbaik
buat saya untuk mencongak strategi awal sebelum bertemu dengan Selangor
pada 16 Februari nanti.
“Tempoh rehat selamat tiga minggu
memberi ruang terbaik buat saya untuk menambah sengat bahagian serangan
serta mencari kombinasi terbaik untuk perlawanan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar perlawanan persahabatan tersebut di sini semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah
pemain pertahanan Kelantan, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Ketua Pengarah
Semen Padang FC, Erizal Anwar, Ketua Juruatihnya, H.Suhatman Iman dan
Ketua Pasukan, Ellie Aiboy.
Dalam pada Hodak memberitahu, perlawanan
hari ini merupakan peluang terbaiknya untuk menilai kemampuan pemain
muda yang baru pulih dari kecederaan iaitu Izuan Salahuddin dan Mohd.
Faiz Subri serta dua tonggak pertahanan Azizi Mat Rose dan Mohd.
Farisham Ismail.
“Perlawanan ini akan menjadi medan ujian
bagi saya dan pemain. Saya memerlukan penyerang yang mampu melakukan
penyudah dan menilai pemain yang baru sembuh dari kecederaan.
“Walaupun tidak mempunyai perlawanan dalam masa kira-kira tiga minggu ini, The Red Warriors perlu terus berusaha untuk memastikan kita bangkit selepas rehat tamat,” ujarnya.
Tambahnya, melalui perlawanan
persahabatan itu juga, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan,
(KAFA) mengarahkan supaya menguji dua pemain import iaitu Salim Arrache
dari Perancis dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan