Kelantan Intai Ahmad Fakri?
Pemain
kebangsaan yang kini beraksi di Portugal, Ahmad Fakri Saarani
dikhabarkan sedang diintai Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk
memperkuatkan pasukan juara treble itu mengharungi saingan Liga Malaysia
(Liga-M) musim ini.
Ahmad Fakri yang
kini beraksi bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam
Divisyen Tiga Portugal dikatakan berada dalam pemerhatian pihak
pengurusan tertinggi Kafa untuk didaftarkan beraksi bersama The Red
Warriors (TRW) tidak lama lagi.
Sumber
dalaman Kafa memberitahu, nama Ahmad Fakri memang berada dalam
perancangan untuk dibawa masuk menyertai kem Kelantan apabila jendela
pendaftaran pemain dibuka pada 8 hingga 22 April ini.
“Namun
segala-galanya bergantung pada rundingan antara pihak Kafa dengan wakil
pemain berkenaan. Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana
perbincangan tersebut melibatkan individu-individu tertentu sahaja,”
katanya.
Malah kelibat Pengurus
Peribadi Ahmad Fakri, Faisal Zakariah bersama ejen pemain Portugal yang
berpangkalan di Singapura, Marco Guimaraes di Stadium Sultan Muhammad
IV, malam kelmarin bagi menyaksikan pertemuan Kelantan menentang
Terengganu memperkukuhkan lagi mengenai usaha Kelantan untuk mengikat
pemain itu.
Difahamkan, Guimaraes
mengadakan perbincangan tertutup dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar
Musa di sebuah hotel sebelum berlepas pulang ke ibu negara, semalam.
Untuk
rekod, saingan Divisyen Tiga Portugal akan berakhir, Mac sebelum musim
baru bermula, Ogos nanti. Dan Ahmad Fakri dikatakan berminat kembali
beraksi dalam liga negara setelah tidak terbabit perlawanan kompetitif
bersama Atletico SC bagi tempoh yang panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan