• Annuar MusaAnnuar Musa
 1 / 1 
KOTA BHARU - Tindakan drastik Tan Sri Annuar Musa yang membuat keputusan melepaskan semua jawatan dalam persatuan bola sepak, termasuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta, mengejutkan para penyokong dan peminat sukan di Kelantan.

Bagi mereka, jika benar Annuar bertekad melepaskan semua jawatannya itu, ia merupakan satu kehilangan besar kepada negara terutama kepada Kelantan yang beliau disifatkan sebagai 'Bapa Pembangunan' bola sepak Kelantan.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, tindakan Annuar itu sesuatu yang sangat mengejutkan kelab berkenaan.

"Jika Tan Sri (Annuar) sudah tekad untuk berundur, ini satu kehilangan besar bagi sukan bola sepak tanah air terutama Kelantan sendiri. Kita harap pengundurannya tidak menjejaskan pasukan TRW," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tindakan Annuar itu juga berkemungkinan akibat terlalu bosan dengan sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap dirinya selama ini.

"Itu mungkin niat jujur Tan Sri kerana tidak mahu isu ini berpanjangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan Kafa mencari pengganti yang setanding dengan kehebatan Annuar yang telah menjadi Presiden Kafa sejak penghujung 2007.

Beberapa pemimpin Kafa yang dihubungi bagaimanapun enggan memberikan komen mereka mengenai pengunduran Annuar itu.

Seorang penyokong The Red Warriors (TRW), Hazrul Hamidi, 42, meminta Annuar memikirkan semula hasratnya itu demi mahu melihat pasukan Kelantan terus berada di kemuncak.

"Saya khuatir pengundurannya akan menyebabkan kemerosotan semula TRW yang hilang semangat kerana Tan Sri Annuar adalah kekuatan mereka," katanya.

Annuar dalam kenyataannya berkata beliau akan turut melepaskan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula dari tempoh penggantungan beliau sejak 4 April 2012, selain menarik diri daripada mengganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara bagi memastikan FAM mempunyai wakil dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berharap tindakan itu dapat menjernihkan semula hubungan dingin antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan FAM berikutan perlantikan beliau dalam jawatankuasa itu yang mendapat bantahan daripada FAM.

Sebelum ini, FAM memutuskan bahawa pelantikan Annuar sebagai anggota jawatankuasa program itu sebagai tidak sah kerana beliau masih dalam tempoh penggantungan sehingga 4 Oktober 2014.

Annuar digantung pada April tahun lepas selama dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. - Bernama