• FAM patut malu dengan AnnuarMohd Yahya Jamada (tengah), Mohd Izani (kiri) dan Rozamri pada sidang media di Kafe TRW Station, semalam.
 1 / 1 
"PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya berasa malu dengan langkah diambil bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatannya."

Itu pandangan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) yang melontarkan cabaran kepada pihak FAM supaya melakukan rombakan pengurusan tertinggi jika benar-benar mahu atau ikhlas untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara.

Pengerusi KPBSK, Mohd Yahya Jamada Ali berkata, tindakan Annuar melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Kafa sepatutnya diikuti individu yang gagal melaksanakan tugas biar pun gah memegang jawatan penting dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Bezanya, Annuar berundur kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan pihak FAM. Tetapi kami menghormati keputusan beliau berundur biar pun sedar negara sebenarnya kehilangan seorang pemimpin bola sepak yang berkaliber.

“Kita harap pegawai FAM yang gagal menjalankan tugas dengan baik, berundur dan beri laluan kepada orang lain yang lebih berkelayakan.
"Mereka harus bertanggungjawab (melepaskan jawatan) supaya satu perubahan besar dapat dilakukan dalam arena bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kafe The Red Warriors (TRW) Station, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusinya, Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan dan Setiausaha, Rozamri Mohd Ali.

Menurutnya, keputusan Annuar melepaskan jawatan membuktikan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dan sanggup berjuang ‘dari luar’ semata-mata mahu memajukan sukan bola sepak negara.

Annuar menerusi kenyataan media baru-baru ini membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Kafa berkuat kuasa daripada tarikh penggantungan yang dikenakan ke atas beliau, pada 4 April 2012.

Dalam pada itu, Mohd Yahya Jamada memberitahu, kelab-kelab penyokong TRW akan berdiri teguh di belakang Annuar setelah pemimpin berusia 57 tahun itu berjanji akan bekerja di sebalik tabir bagi memastikan bola sepak Kelantan terus berada di puncak kemasyhuran.

“Bagi kami, kenyataan Annuar tiga hari lalu yang mengumumkan akan terus bekerja untuk Kafa melenyapkan keresahan penyokong Kelantan sejak kebelakangan ini.

“Kita  juga berharap pemain lebih bertanggungjawab dan menunjukkan prestasi terbaik dengan mengambil kira pengorbanan dilakukan Annuar itu,” katanya.