Siapa hebat, Hodak atau Irfan?
Hodak(kiri) dan Irfan( kanan)
SIAPA hebat, Hodak atau Irfan? Itulah persoalan yang bermain difikirkan peminat bola sepak tempatan menjelang sepak mula perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pertembungan dua musuh tradisi, Kelantan dan Selangor sebenarnya memang cukup klasik. Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 13 kali sejak tiga tahun lalu di mana Kelantan menang lima perlawanan, seri enam dan tewas dua kali kepada Selangor.
Rekod kebal The Red Warriors di gelanggang sendiri juga terbukti menjadi igauan buruk kepada Red Giants. Sukar bagi Selangor untuk membuang badi kekalahan setiap kali beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mungkin kalau mereka boleh berbangga sekali pun ialah 10 tahun lalu di bawah bimbingan Abdul Rahman Ibrahim. Ketika itu, Selangor menewaskan Kelantan 4-1 di Kota Bharu menerusi jaringan Mohd Amri Yahyah, Mass Sarr Jr dan gol sendiri Mohd Saifulnizam Hussin.

Pasukan berbeza

Namun malam ini, Selangor muncul sebagai sebuah pasukan yang cukup berbeza. Misi 33 buat kali kedua dicanangkan dalam kempen Piala Malaysia edisi ke-86 setelah impian mereka lebur di tangan Terengganu pada peringkat separuh akhir musim lalu.
Irfan Bakti Abu Salim tampil selaku Ketua Jurulatih baharu mengisi kekosongan yang ditinggalkan K Devan musim lalu. Irfan Bakti, anak kelahiran Kota Bharu jelas mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang kejurulatihan.
Seperkara yang menarik mengenai pengendali berusia 61 tahun ini ialah beliau mempunyai karakter luar biasa sebagai pembimbing pemainnya dari tepi padang.
Itulah yang gemar dilakukan Irfan Bakti, sentiasa merangsang psikologi anak buahnya untuk beraksi lebih cemerlang dalam perlawanan berisiko tinggi.
Dengan reputasi terbaik sebagai juara sebanyak 32 kali, Selangor kini berada di landasan tepat untuk menggapai misi kedua mereka itu. Jelas, Selangor mempunyai barisan pemain cukup mantap, dengan kehadiran Ramez
Dayoub yang cukup tenang mengawal benteng pertahanan sambil dibantu Mohd Nasriq Baharom, Mohd Razman Roslan dan P Gunalan.
Ketua Pasukan kebangsaan, Shafiq Rahim yang juga merupakan pakar dalam situasi bola mati pula akan menjana tengah Selangor dibantu rangkaian Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Solihin Kannasian Abdullah dan S Veenod.

Jangan lupa Mohd Amri Yahyah, pemain yang disifatkan mampu mengubah sesuatu keputusan perlawanan jika pasukannya berada dalam keadaan terdesak untuk menang. Pemain berusia 31 tahun itu dilihat pemain paling sesuai digandingkan dengan bintang import dari Croatia, Bosko Balaban di jentera serangan mereka.
Buru banyak gol
Di kem Kelantan, percaturan taktikal Bojan Hodak sekali lagi menjadi taruhan. Menjadi jurulatih bidan terjun menggantikan Peter Butler penghujung Februari lalu, Hodak kini dalam perjalanan untuk mencipta sejarah muncul selaku jurulatih pertama menjulang The Red Warriors meraih treble pertama.

Dalam tempoh yang singkat, jurulatih kelahiran Croatia itu berjaya membawa Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali selain mempertahankan kejuaraan Piala Liga Super buat kali kedua berturut-turut pada musim ini.

Malam ini, merupakan pentas terbaik bagi Hodak untuk menurunkan barisan terkuat Kelantan.

Dengan Khairul Fahmi Che Mat atau Apex sudah pasti diberi tugas menjaga gawang, benteng pertahanan Kelantan kembali diperkuatkan kehadiran S Subramaniam bergandingan dengan Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak.

Meskipun mempamerkan aksi buruk tempoh hari, kudrat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi amat ditagih bagi memperkuatkan jentera tengah bergandingan dengan Mohd Shakir Shaari, dan kedua-dua pemain sayap, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad.

Gandingan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar menjadi taruhan Hodak dalam usaha Kelantan memburu seberapa banyak gol sebelum aksi timbal balas di Shah Alam pada 12 Oktober nanti.