NAMA dua pemain import
terbaharu The Red Warriors, Dimitrios Pertratos dan Lek Kcira kini mula
meniti di bibir dalam kalangan penyokong setia mereka.
Kehadiran
Pertratos, pemain yang mendapat jolokan ‘David Villa’ kerana wajahnya
mirip penyerang Sepanyol dan Barcelona itu ternyata memberi impak yang
cukup besar di bahagian jentera serangan Kelantan.
Malah
aksi pertama beliau, yang menjaringkan satu gol meski pun diturunkan
hanya 30 minit ketika Kelantan membelasah Perlis 5-0 dan Kedah 4-1 dalam
perlawanan persahabatan baru-baru ini ternyata menarik perhatian hampir
25,000 penyokong setia memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV.
Tidak
pernah lagi dalam sejarah aksi bertaraf persahabatan di Kota Bharu,
stadium berusia 46 tahun itu dibanjiri sebegitu ramai penyokong setia
semata-mata mahu melihat permata baharu import Kelantan.
MUDA DAN LINCAH
Pertratos,
penyerang daripada kelab Sydney FC mempunyai pakej yang begitu lengkap
selaku penggempur berbisa Kelantan meski pun hanya berketinggian 1.76
meter sahaja.
Beliau bukan sahaja
lincah, bertenaga dan mempunyai kemahiran individu yang tinggi malah
bernafsu besar untuk merobek gawang pasukan lawan. Itulah perwatakan
sebenar pemain berusia 20 tahun yang berasal Australia.
Tidak
syak lagi, beliau menjadi calon paling tepat bagi menggantikan
penjaring terbanyak Liga Super Kelantan musim lalu, Mohamad Ghaddar
berbanding seorang lagi penyerang yang dimiliki Kelantan ketika ini,
Keita Mandjou.
Namun persembahan
mantap kedua-dua pemain ini dalam beberapa siri perlawanan persahabatan
memberi sedikit kesukaran pengurusan Kafa untuk memilih pemain di
bahagian serangan.
AGRESIF DAN BERTENAGA
Kcira
menjadi pesaing terbaharu buat Obinna Nwaneri di benteng pertahanan
Kelantan. Pemain kelahiran Croatia itu nyata cepat menyesuaikan diri
dengan corak persembahan The Red Warriors.
Pemain
berusia 29 tahun yang pernah beraksi dengan kelab Shahin Bushehr FC
dalam Liga Iran tampak lebih agresif dan bertenaga memimpin pertahanan
Kelantan. Ketenangan beliau mengemudi benteng kebal menjadi perangsang
kepada rakan sepasukan lain di posisi tersebut.
Dengan
ketinggian 1.86 meter, pemain yang gemar beraksi di posisi bek tengah
itu menjadi tunjang kekuatan terbaharu Kelantan terutamanya mengharungi
Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan