SELEPAS kehilangan pemain paling bernilai, Norshahrul Idlan Talaha, Kelantan sekali lagi menerima tamparan hebat apabila penyerang import sensasi mereka dari Lebanon, Muhammad Ghaddar tidak lagi bersama pasukan tersebut untuk mengharungi saingan liga musim depan.
Terdesak dengan situasi tersebut, KAFA segera memburu beberapa pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan ketika mereka kini dalam persiapan untuk mempertahankan ketiga-tiga kejuaraan yang dimenangi termasuk memberi cabaran baharu pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Nama penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang kini sedang beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada kejohanan Piala Suzuki AFF juga dikatakan turut berada dalam senarai paling atas untuk dibawa masuk bagi memantapkan pasukan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan diberikan oleh pihak KAFA yang sebelum ini turut dikaitkan memburu dua penyerang berbisa Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Khyrill Muhymeen, namun khabar tersebut seperti tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, peminat The Red Warriors mampu menghela nafas lega apabila KAFA hampir pasti menandatangani seorang pemain import baharu dari Australia yang merupakan penyerang muda sebuah kelab yang pernah beraksi pada Liga Juara-Juara Asia dan memenangi Liga Australia sebelum ini bagi menggantikan kelibat Muhammad Ghaddar.
Sumber KAFA memberitahu, pemain tersebut dilahirkan pada 10 November 1992 dan baru berusia 20 tahun dan memiliki kebolehan beraksi pada posisi serangan selain mampu bertindak sebagai pemain tengah.
“Dimitrios (Dimi) Pertratos merupakan pemain muda daripada kelab Sydney FC yang berpangkalan di New South Wales, Australia. Beliau juga merupakan penyerang pasukan bawah 23 tahun Australia dan antara lima pemain muda yang berjaya menempatkan diri dalam skuad senior kelab tersebut.
“Bagaimanapun, kita akan mendapatkan khidmat beliau secara pinjaman untuk tempoh enam bulan sebelum perbincangan lanjut mengenai kontraknya berdasarkan prestasi yang akan dipamerkan nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, sebuah portal sukan, Australian FourFour Two dalam entrinya pada 23 November lalu menyiarkan artikel mengenai juara trebel dari Malaysia, Kelantan berminat untuk mendapatkan pemain muda tersebut.
Artikel berkenaan juga menyebut, ejen Petratos, James Hardy begitu berminat dengan tawaran yang dikemukakan oleh The Red Warriors itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan