KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 31 Disember 2010

Rahsia Khairul Selamatkan Penalti

JAKARTA – ”Saya memang sudah jangka Firman Utina akan melakukan sepakan di sebelah kiri. Ini kerana jurulatih, K. Rajagobal awal-awal lagi telah memberitahu saya bahawa dia (Firman) gemar melakukan sepakan di arah itu”.

Itu pendedahan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang menyelamatkan penalti Firman pada minit ke-19 final kedua Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Khairul, yang dikenali sebagai Apek, mengakui dia cukup tenang ketika pemain lawan melakukan penalti, kerana berpegang kepada nasihat Rajagobal.

”Jurulatih telah mengkaji sepakan penalti yang dilakukan oleh Firman dan pemain Indonesia yang lain, ia jelas membantu saya.

”Saya bersyukur kerana agakan saya tepat, sekali gus membantutkan hasrat Indonesia untuk meraih gol awal kerana saya sedar jika mereka berjaya, situasi mungkin berubah dan memberikan mereka lebih semangat untuk bangkit,” jelasnya ketika di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, sebelum berangkat pulang ke tanah air, semalam.

Mengenai pancaran laser, Khairul tidak tergugat dengan gangguan psikologi oleh penyokong Indonesia.

”Memang ia sedikit mengganggu penglihatan tetapi mental dan fokus saya tetap kepada perlawanan, walau apa pun yang mereka cuba lakukan.

”Saya sama sekali tidak terfikir akan membuat tindakan untuk meminta perlawanan dihentikan, seperti yang pernah dilakukan oleh penjaga gol Indonesia, Markus Harison,” katanya.

Norshahrul Pikat Dua Kelab Luar

AKSI lincah penyerang berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha pada saingan Piala Suzuki AFF akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memikat dua kelab dari Indonesia.

Norshahrul ketika ditemui di Wisma FAM semalam sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan menerima tawaran dari pasukan Sriwijaya FC yang beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) dan sebuah lagi pasukan yang belum dapat dipastikan.

Penyerang berusia 24 tahun itu berkata, ejen kedua-dua pasukan itu ada menemuinya dan menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.

“Benar saya mendapat tawaran pasukan Sriwijaya dan sebuah lagi pasukan dari Jawa Tengah. Saya bersedia untuk keluar dari Malaysia dan beraksi untuk pasukan ini jika mereka memang serius mahu menggunakan khidmat saya,” katanya.

Aksi Norshahrul sepanjang kempen Piala Suzuki AFF sememangnya tidak mengecewakan apabila berjaya mencipta gerakan cantik untuk rakan sepasukan, terutama kepada seorang lagi penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali yang muncul penjaring terbanyak kejohanan itu dengan lima gol.

Malah ada yang mengatakan dia bakal menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), namun ia akhirnya menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarkan semasa aksi final kelmarin, Firman gagal menyempurnakan sepakan penalti. Malah, Firman sendiri mengaku yang dia terkejut kerana dipilih untuk menerima anugerah itu.

Norshahrul mengakui yang dia agak terkilan kerana tidak dipilih untuk meraih anugerah berkenaan, namun kekecewaan itu terubat apabila dapat membantu memastikan pasukan negara menjulang Piala Suzuki AFF buat kali, pertama sekali gus menambah koleksi peribadinya selepas meraih pingat emas Sukan Sea 2009 Laos serta menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan.

“Tahun ini serta musim lalu memang amat bermakna bagi saya kerana banyak kejuaraan yang saya kecapi bersama Kelantan serta skuad kebangsaan. Harap-harap saya dapat mengekalkan prestasi terbaik selepas ini.

“Menjuarai Piala Suzuki AFF ini juga amat bermakna buat saya kerana ia hadiah paling berharga selepas baru melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Kelantan cuti umum...

Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi cuti umum AHAD ini kepada negeri Kelantan atas kejayaan Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF.Cuti ini adalah ganti kepada cuti yang diumumkan oleh perdana menteri sebelum ini.

Info:Radio Malaysia Kelantan

Khamis, 30 Disember 2010

Ucapan tahniah dari Rio Ferdinand kepada Malaysia

Rio Ferdinand mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana berjaya menundukkan Indonesia dalam kejohanan Piala Suzuki AFF semalam.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN PERSAHABATAN

27hb Disember 2010 – Kelantan (!) lwn (4) Harimau Muda A, di Stadium MBPJ, 8.45pm.

28hb Disember 2010 – Kelantan (1) lwn (2) Sarawak, Padang PKNS, 4.45pm.

29hb Disember 2010 – Kelantan (1) lwn (4) FELDA United, Stadium MBPJ, 4.45pm.




Terima Kasih Khairul Fahmi Kerana Kembalikan Keseksian Bola Sepak Malaysia – Peminat


Khairul Fahmi Che Mat

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan ‘Support Timnas’, yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau (Khairul Fahmi Che Mat) mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Khairul Fahmi 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

“Terima kasih kerana mengembalikan ‘keseksian’ dalam bola sepak Malaysia,” kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.

Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.

Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 “Like” dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.

Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.

Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya, @rioferdy5.

“Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas. Memang satu pasukan yang bagus,” katanya.

Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta ‘tweeters’, ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai ‘friends’ Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna

Berakhir kemarau 14 tahun

aripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
smriduan@nstp.com.my
2010/12/30

SAFEE cuba melepasi asakan pertahanan Indonesia,  Zulkifli Syukur sambil diperhati Norshahrul (kanan) ketika perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
SAFEE cuba melepasi asakan pertahanan Indonesia, Zulkifli Syukur sambil diperhati Norshahrul (kanan) ketika perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Malaysia bawa pulang Piala Suzuki; Safee muncul penjaring terbanyak

HARIMAU Malaya seperti memberi 'markah kasihan' kepada Indonesia dan penyokong mereka untuk menang di laman sendiri ketika episod penyudah di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi menyaksikan anak didik K Rajagobal mencipta gemilang ditabal selaku juara baru Piala Suzuki AFF

Di sebalik kekalahan 1-2 gara-gara kealpaan benteng pada lewat babak perlawanan akhir kedua, Malaysia hebat ungguli kejuaraan edisi 2010 atas agregat 4-2 – sekali gus menamatkan kemarau 14 tahun buat menghiburkan jutaan rakyat di tanah air yang bangun menabik skuad masa depan negara.
Dalam perlawanan akhir pertama, pasukan negara menang 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember lalu.

Bagi Indonesia, igauan 1979 nyaris berulang tetapi tetap kecewa gagal menyekat lawan yang pernah menewaskan mereka 1-0 dalam final Sukan SEA di Senayan menerusi jaringan tunggal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Ledakan padu Safee Sali pada minit ke-53 – jaringan yang menerbitkan rasa gelisah jutaan rakyat Indonesia – menjadikan jumlah gol peribadi penyerang Selangor itu kepada lima untuk muncul pemenang anugerah Kasut Emas.

Namun, dua gol Indonesia menerusi Mohammad Nasuha pada minit ke-72 dan Mohammad Ridwan, dua minit sebelum wisel penamat memberi sedikit penawar duka kepada 95,000 penyokong Merah-Putih meskipun menggigit jari melihat trofi yang mereka amat idamkan itu menjadi milik lawan.
Sebaik pengadil meniup wisel penamat, kekecohan kecil tercetus antara penyokong Indonesia, dengan sebahagian daripada mereka membantah sikap tidak ‘sporting’ (kesukanan) sebahagian penonton di tempat duduk paling atas.

Bagaimanapun keadaan dapat dikawal 10,000 pegawai keselamatan diketuai pegawai dari Malaysia, Datuk Dell Akhbar Khan

KELANTAN


Sesi pengenalan pemain dan 'unveiling' jersey baru akan diadakan pada hari Sabtu 08/01/2011 pukul 11.30 pagi di Dewan KTC. Sukacita dimaklumkan bahawa saya telah mengundang Dato Chan (Cardiff City FC) untuk turut hadir. Sambil minum teh minggu lepas saya telah minta beliau membantu saya dalam menyediakan konsep dan co...sting Stadium TRW untuk dikemukakan kepada pihak tertentu. Tunggu dan lihat!

Sejarah tercipta

Sejarah baru telah dicipta oleh 22 pemain Malaysia apabila menjulang Piala AFF Suzuki untuk pertama kali apabila berjaya menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 .

Nama-nama mereka bakal tercatat dalam buku lembaran sejarah bolasepak Malaysia kerana telah mengharumkan nama negara dimata dunia.

Apa tidaknya,selama 14 tahun Malaysia menunggu untuk menjulang Piala AFF ini.Kali terakhir Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir adalah pada edisi sulung Piala AFF ini diperkenalkan tetapi tewas kepada Thailand 1-0 di Singapura.

Kenangan manis ini juga dikongsi oleh jutaan peminat-peminat Malaysia yang sekadar menyaksikan perlawanan akhir ini dikaca televisyen atas faktor keselamatan dan kehabisan tiket.Kemenangan ini juga bakal 'menaikkan' moral pemain-pemain dan seterusnya merancakkan kembali saingan dalam Liga Malaysia.

Tahniah kepada semua pemain dan buat tiga permata Kelantan iaitu Khairul Fahmi,Nor Shahrul dan S.Chanturu anda adalah aset berharga buat pasukan Kelantan musim depan,kekalkan momentum persembahan cemerlang ini bagi memastikan Kelantan berjaya mempertahankan Piala Malaysia serta dapat menunaikan impian penyokong-penyokong yang belum direalisasikan...

p/s:FAM sudah boleh berkira-kira untuk memberikan imbuhan kepada pemain-pemain serta jurulatih yang telah memberikan persembahan 120 peratus bagi memastikan Piala ini dibawa pulang ke Malaysia.

Rabu, 29 Disember 2010

Piala AFF Sui 2010:Final Leg 2

Keputusan Penuh :

Malaysia 1 - Indonesia 2

Malaysia menang Agregat 4-2


Malaysia JUARA!!!

Malaysia JUARA!!!

Malaysia JUARA!!!
Tahniah kepada semua pemain terutamanya penjaga gol Khairul Fahmi...anda sebaris dengan pemain lagenda
zuk

Kelantan Tewas Aksi Sulung

Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dikepung empat pemain Harimau Muda dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam.

KELANA JAYA – Skuad Liga Super Kelantan membuka tirai siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang dengan aksi mengecewakan setelah tewas 4-1 kepada Harimau Muda ‘A’ dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam.

Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal Kelantan telah dijaringkan oleh Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah penyerang, Muhammad Khalid Jamlus diperintah keluar padang kerana menerima kad merah pada babak awal permainan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ketika dihubungi berkata, kekalahan tersebut tidak menggusarkan kerana beliau sedar misi utama Kelantan mengadakan perlawanan tersebut adalah bagi mengukur sejauh mana kemampuan para pemainnya setelah hampir sebulan menjalani latihan.

“Kekalahan ini merupakan satu keputusan yang baik. Perlawanan seperti inilah yang saya nantikan. Apabila kita bertemu dengan lawan yang kuat dalam perlawanan yang kompetetif seperti ini, kita dapat mengesan kelemahan pasukan kita dengan sendirinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kekalahan ini membuka minda para pemain sebenarnya. Sudah pasti mana-mana pasukan yang bertemu dengan kita akan bermain habis-habisan kerana mereka sedar kita adalah juara Piala Malaysia musim lalu. Ada pemain yang masih dalam keadaan mendadik dada, mereka ingat kita masih bergelar juara. Pemikiran seperti ini perlu dibuang.

“Saya tidak kecewa dengan kekalahan ini. Kita kena banyak belajar dan memperbaiki kelemahan terutamanya dibahagian pertahanan yang saya lihat tidak membentuk satu kombinasi yang baik. Para pemain perlu bekerja keras mengatasi kelemahan ini,” katanya.

Menurut Sathianathan, walaupun benteng pertahanan dilihat bermasalah namun pada masa yang sama beliau berpuas hati dengan persembahan dua baru iaitu K Soley dan Mohd Nurul Azwan Roya yang menunjukkan persembahan yang baik pada perlawanan itu.

“Mereka berdua berfungsi dengan baik. Kita mempunyai banyak peluang melalui gerakan serangan yang dilakukan oleh kedua-dua pemain sayap itu namun penyudah kita kurang berkesan. Ramzul (Zahini Adenan) walaupun cemerlang dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini tetapi masih tercari-cari rentak sebenar beliau. Kita bagi masa kepada beliau.

“Sebab itulah saya katakan saya mempunyai tiga misi utama semasa berada di sini. Pertama, saya mahu mencari perlawanan persahabatan yang berkualiti, kedua saya mahu mengenalpasti barisan pemain yang mungkin akan disenaraikan bagi menghadapi Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 29 Januari dan ketiga, pemain kini masih lagi dalam fasa menjalani latihan keras dan saya perlu memantau tahap kecergasan mereka selain mengenalpasti kombinasi dan persefahaman yang terbaik melalui perlawanan seperti ini,” katanya.

Selasa, 28 Disember 2010

Tiga gol belum cukup: Fahmi

PEMAIN negara menjalani latihan ringan di sekitar perkarangan hotel penginapan di Jakarta, petang semalam.
PEMAIN negara menjalani latihan ringan di sekitar perkarangan hotel penginapan di Jakarta, petang semalam.


Tuntut rakan usah aksi sambil lewa di Gelora Bung Karno


USAH terlalu selesa dengan bekalan tiga gol. Itu pesan benteng terakhir skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, semalam.
Dia yang tidak mahu beraksi sambil lewa serta terlalu yakin pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, esok berharap perkara sama turut dilakukan rakan sepasukan lain.

Isnin, 27 Disember 2010

Ujian Sebenar Menanti Kelantan

Penyerang Kelantan, Muhammad Khalid Jamlus berjaya melepasi kekangan dua pemain pertahanan kelab Melodi Jaya dalam aksi perlawanan persahabatan pada Jumaat lalu.

KOTA BHARU – Tiga kemenangan daripada tiga perlawanan persahabatan sebelum ini masih belum memberi kepuasan mutlak kepada pengendali, B Sathianathan biarpun skuad The Red Warriors sudah menjalani latihan hampir sebulan yang lalu.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Kelantan menumpaskan pasukan Pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dengan kemenangan 8-0 sementara perlawanan berikutnya, Kelantan mengalahkan pasukan Pilihan Kelab-Kelab dengan keputusan 3-0.

Terbaru, Kelantan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas pasukan yang beraksi dalam Liga FAM, kelab Melodi Jaya dari Johor dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Padang Penjara pada Jumaat lalu. Dalam perlawanan tersebut, gol-gol Kelantan telah dijaringkan oleh Ramzul Zahini Adenan, K Soley dan Mohd Nizab Ayub.

Sathianathan berkata, keputusan tiga perlawanan persabahatan itu bukan suatu yang menggembirakan bagi beliau kerana lawan yang ditentang oleh Kelantan dalam perlawanan tersebut disifatkan oleh beliau bukan lawan yang sebenar bagi Kelantan.

“Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai pasukan ini. Memang saya lihat sudah terbentuk keserasian dalam kalangan pemain namun masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan dalam memperkemaskan persembahan pasukan secara keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan terdahulu. Saya tidak menghiraukan keputusan perlawanan tersebut kerana yang lebih penting adalah saya dapat melihat sejauh mana para pemain dapat membentuk persefahaman yang jitu memandangkan musim ini kita menggabungkan antara pemain lama dan baru dalam pasukan kita.

“Dalam semua perlawanan persahabatan sebelum ini, saya memberi peluang kepada semua pemain turun beraksi dalam tempoh 45 minit. Namun untuk empat perlawanan persahabatan ini, saya hanya akan menggunakan 13 atau 14 pemain turun beraksi dalam sepenuh masa,” katanya.

Sathianathan berkata, empat perlawanan persahabatan yang dihadapi bermula hari ini memberi peluang kepada beliau untuk menilai secara kolektif persembahan pasukan Kelantan secara keseluruhannya.

“Empat perlawanan ini cukup penting bagi saya. Kita dapat menilai kelemahan pasukan dengan bertemu dengan pasukan yang kuat. Sekurang-kurangnya kita mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Semua pemain baru yang bersama kita memang mempunyai kualiti tersendiri. Itu tidak dapat saya nafikan tetapi yang penting saya perlu menerapkan corak permainan pasukan Kelantan kepada mereka. Kita beri masa kepada mereka untuk buktikan.

“Latihan selepas ini akan lebih tertumpu kepada bagaimana semua pemain perlu bekerja keras tanpa bola. Kalau mereka kehilangan bola, jadi mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkannya semula,” katanya.

Kelantan akan memulakan siri perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Muda A, pasukan bimbingan Ong Kim Swee yang mengutip pengalaman di Slovakia baru-baru ini pada malam ini sebelum menghadapi Sarawak, KL Felda United FC dan pendatang baru Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC dalam perlawanan terakhir.

Jadual perlawanan persahabatan Kelantan FA di Lembah Kelang adalah seperti berikut:

27hb Disember 2010 – Kelantan lwn Harimau Muda A, di Stadium MBPJ, 8.45pm.

28hb Disember 2010 – Kelantan lwn Sarawak, Padang PKNS, 4.45pm.

29hb Disember 2010 – Kelantan lwn FELDA United, Stadium MBPJ, 4.45pm.

31hb Disember 2010 – Kelantan lwn Sime Darby FC Stadium MBPJ, 4.45pm.

Catatan Popular