KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak menyangkal khabar angin yang mengatakan dia akan meninggalkan The Red Warriors untuk menyertai skuad Pulau Pinang musim depan.
Pengendali berusia 42 tahun itu berkata, dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan isu tersebut, sebaliknya mahu memberikan tumpuan menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Takzim, Sabtu ini.
Malah, dia sama sekali tidak tahu menahu isu tersebut dan menganggapnya tidak benar.
"Beberapa hari lalu saya ada pulang ke Pulau Pinang untuk bercuti. Mungkin ada orang ternampak saya sedang bercakap dengan seseorang, lalu membuat andaian sendiri, padahal itu tidak benar sama sekali.
"Andai kata saya bercuti ke Kuala Lumpur, mungkin orang akan ingat saya nak jadi jurulatih Selangor, begitu juga sekiranya ke Terengganu mahupun luar negara.
"Fokus saya hanya untuk kempen Piala Malaysia yang berbaki beberapa beberapa perlawanan dan penyokong boleh bercakap apa sahaja berhubung isu ini," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dakwaan mengaitkannya dengan skuad Harimau Kumbang tersebar di laman sosial facebook.
Bukan isu itu sahaja, Hodak turut dikhabarkan akan membawa beberapa bintang The Red Warriors bersamanya untuk beraksi bersama Harimau Kumbang musim depan.
Bekas pengendali UPB-My Team itu menegaskan, dia tidak pernah mengadakan rundingan dengan mana-mana pasukan untuk musim hadapan.
"Saya tidak pernah menandatangani perjanjian mahupun memorandum persefahaman (MoU) dengan mana-mana pasukan lain.
"Saya masih jurulatih Kelantan dan semua dakwaan ini adalah tidak benar termasuklah membawa keluar pemain The Red Warriors untuk bersama saya musim depan," tegasnya.
Tambahnya, dia tidak pernah menerima tawaran dari mana-mana pasukan kecuali Kelantan untuk menyambung kontrak.
Hodak berkata, dia sudah membalas surat tawaran kontraknya itu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan